Selain Datuk Seri Rafizi Ramli yang mengumumkan perletakan jawatannya hari ini sebagai Menteri Ekonomi, seorang lagi rakan sejawatnya turun mengambil langkah yang sama. Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (KSAKA), Nik Nazmi Nik Ahmad turut mengumumkan perletakan jawatannya, bermula 4 Julai nanti susulan kekalahannya untuk mempertahankan kedudukan sebagai Naib Presiden dalam pemilihan PKR minggu lalu.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Ahli Parlimen Setiawangsa itu memaklumkan telah menyerahkan surat perletakan jawatannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau juga akan menghabiskan baki cuti tahunan bermula esok hingga 3 Julai. Beliau akan memberi tumpuan untuk berkhidmat untuk Setiawangsa selepas ini.
Nik Nazmi menyatakan, sejak pelantikannya kali pertama sebagai menteri sejak Disember 2022, beliau bersama pasukannya telah menjalankan banyak reformasi pengurusan yang berkaitm termasuklah meminda Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 (Akta 127) Fasa 1 untuk menjadikan laporan penilaian kesan alam sekitar lebih telus.
Beliau juga menyenaraikan pelaksanaan penyasaran semula subsidi di bawah mekanisme pelepasan kos ketidakseimbangan elektrik (ICPT) di semenanjung sebagai satu lagi pencapaiannya. Sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam pula, Nik Nazmi turut terlibat dalam beberapa perbincangan berkaitan mobiliti, termasuk elektrifikasi, dengan tumpuan terhadap strategi peralihan bagi kerajaan untuk menjadikan separuh daripada pembelian kenderaan rasmi terdiri daripada EV pada 2025. Tidak diketahui sama ada rancangan itu akan diteruskan selepas ketiadaannya dalam kabinet.
Awal tahun ini, beliau menyatakan harapannya bahawa dengan penarikan subsidi untuk petrol RON 95 dan diesel akan menggalakkan lebih ramai warga Malaysia untuk membeli EV sebagai salah satu cara untuk mendepani kenaikan kos bahan api. Perihal mobiliti lain yang turut pernah disentuh termasuklah untuk negara memberi tumpuan kepada pembangunan berasaskan transit serta mencadangkan caj kesesakan kenderaan dikenakan di Kuala Lumpur bagi memastikan kelestarian jangka panjang ibu kota itu.
Apa yang akan terjadi kepada semua cadangan serta usaha itu kini tidak ada sebarang kepastian. Hanya masa yang akan menentukannya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
Konfem…Terusla sbb ramai orang nak pakai EV sbgai mampu termasuk maintain dan reliable