Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan akan melaksanakan operasi khas Hari Raya Aidiladha Tahun 2025 mulai 4 hingga 10 Jun ini di seluruh negara.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, operasi khas ini adalah bertujuan untuk memantau, mengesan, dan mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang melanggar peraturan-peraturan atau undang-undang jalan raya yang dikuatkuasakan.
“Melalui operasi khas ini, tujuh strategi utama akan dilaksanakan iaitu pemantauan/pemeriksaan audit operasi bas di depoh, Ops Khas sembilan kesalahan utama, Ops Khas Perkhidmatan Awam (bas), Ops Khas Kenderaan Perkhidmatan Barangan, Ops Khas Motosikal dan Ops Khas Teknikal.
“Selain itu, JPJ juga akan memfokuskan sembilan kesalahan utama di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dam kaedah-kaedah di bawahnya iaitu memandu melebihi had laju, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, guna telefon bimbit, tidak memakai tali pinggang keledar/topi keledar, memandu kenderaan berat di lorong laju dan lebih muatan,” kata Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli.
Tambah beliau, pihak JPJ juga komited untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara dan bagi mencapai sasaran pengurangan statistik kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya sekurang-kurangnya 50% menjelang tahun 2030.
Para pengguna jalan raya juga dialu-alukan menyalurkan aduan berkaitan kesalahan lalu lintas sepanjang musim perayaan melalui aplikasi MyJPJ (e-Aduan@JPJ) atau e-melkan kepada [email protected].
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.