Kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM350 juta untuk projek selenggara 563 jalan persekutuan di Semenanjung untuk tahun ini. Menurut Timbalan Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, sebanyak RM275 juta akan digunakan untuk kerja penyelenggaraan turapan berkala dan RM75 juta bagi kerja penyelenggaraan bukan turapan.
Beliau turut berkata, kerja-kerja penyelenggaraan ditawarkan kepada kontraktor gred G1 hingga G4 melalui undian, dengan proses pengundian program di zon selatan diadakan minggu ini, manakala bagi zon utara akan dijalankan pada 5-6 Jun laporan Bernama.
Jelasnya lagi, ia adalah bagi memastikan semua kontraktor yang terlibat diberi peluang yang sama. Tambahnya, semua kontraktor yang terlibat dalam urusan pengundian telah ditapis oleh pihak berkuasa bagi memastikan semua projek yang dilaksanakan berjalan lancar dan disiapkan mengikut jadual.
Beliau berkata, tiada isu mengenai kontraktor tidak dapat menjalankan tugas itu. “Kontraktor-kontraktor ini telah disenarai pendek, yang mana kami menganggap mereka mempunyai kemampuan untuk melakukan kerja, dan kami yakin mereka dapat menyiapkan tugasan yang diberikan.
“Pengundian dilakukan secara adil dan kontraktor boleh melihat keputusan menerusi dalam talian. Kontraktor yang dipilih tahun lepas tidak layak untuk dipilih tahun ini,” jelasnya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.