Kementerian Dalam Negeri Singapura telah umumkan denda lebih keras bagi kesalahan melanggar had laju, bermula 1 Januari 2026. Dengan ini, pemandu yang didapati melanggar had laju akan menerima lebih banyak mata demerit dan jumlah saman yang lebih tinggi.
Bagi kesalahan melebihi had laju tidak lebih daripada 20 km/j, kini pesalah akan menerima enam mata demerit (sebelum ini hanya empat). Sementara itu, lapan mata demerit akan diberikan untuk mereka yang melanggar had laju melebihi 20 km/j dan tidak lebih 30 km/j (daripada enam mata).
Kenaikan melebihi had laju 10 km/j selepas itu dan kurang daripada 40 km/j pula akan mengakibatkan 12 mata demerit kepada pelaku (sebelum ini lapan). Ini terus naik hingga 18 mata (sebelum ini 12) untuk mereka yang melanggar had laju melebihi 40 km/j, tetapi tidak melebihi 50 km/j.
Lebih di atas 50 km/j dan kurang daripada 60 km/j pula, pemandu akan dikenakan 24 mata demerit (daripada 18 mata); sementara melebihi 60 km/j akan melibatkan denda 24 mata. Jika mencecah 24 mata demerit ini, lesen akan digantung.
Untuk saman, sebanyak SGD200 (RM655) dikenakan bagi kenderaan ringan dan SGD250 (RM819) bagi kenderaan berat yang melebihi had laju tidak lebih daripada 20 km/j. Denda ini akan dinaikkan masing-masing kepada SGD300 (RM983) dan SGD400 (RM1.3k) jika perlanggaran had laju melebihi 20 km/j dan 30 km/j, dan menjadi SGD400 (RM1.3k) dan SGD500 (RM1.6k) antara 30 km/j dan 40 km/j. Langgar had laju melebihi 40 km/j daripada yang ditetapkan, pemandu akan didakwa di mahkamah.
Malaysia juga menggunakan sistem mata demerit di bawah Kejara, dan pemandu yang didapati bersalah melebihi had laju akan didenda hingga RM300. Berdasarkan pindaan tahun 2022 yang dikongsikan di laman web rasmi JPJ, empat mata demerit akan dikenakan jika melebihi had sebanyak 40 km/j, tiga mata antara 25-40 km/j dan dua mata bagi yang tidak melebihi 25 km/j.
Jika mata demerit terkumpul mencapai 20 poin, pesalah akan diberikan amaran; tambahn lagi 20 mata maka lesen akan digantung antara enam dan lapan bulan. Penggantungan kedua pula akan menyebabkan tempoh lapan hingga 10 bulan, manakala penggantungan ketiga dan keempat dengan tambahan 20 poin lagi akan melibatkan tempoh 10-12 bulan. Jika lesen digantung sebanyak tiga kali dalam tempoh lima tahun, maka lesen berkenaan akan dibatalkan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.