Alpine akan lancar supercar enjin tengah dengan kuasa lebih 1,000 PS menjelang tahun 2028

Alpine akan lancar supercar enjin tengah dengan kuasa lebih 1,000 PS menjelang tahun 2028

Jenama kereta prestasi dari Perancis, Alpine, merancang untuk memperkenalkan sebuah supercar enjin tengah pada tahun 2028. Menurut laporan Autocar, model ini akan dilengkapi dengan sistem hibrid V6 turbo yang mampu menghasilkan lebih 1,000 hp dan menggunakan dua motor elektrik di gandar hadapan, menjadikannya sebuah kereta pacuan semua roda (AWD).

Walaupun Alpine sedang giat membangunkan barisan kereta elektrik sepenuhnya, syarikat ini memilih untuk kekal dengan gabungan enjin pembakaran dalaman dan motor elektrik bagi supercar terbarunya. Ketua pegawai eksekutif Alpine, Philippe Krief menegaskan bahawa mereka bukan sekadar menjual kereta elektrik, tetapi kereta yang penuh semangat, sporty dan eksklusif. “Kami bukannya menjual kereta elektrik. Kami jual kereta yang penuh semangat, kereta sporty, kereta eksklusif,” katanya semasa pelancaran model Alpine A390.

Melihat lagi kepada laporan Autocar, supercar baru ini akan menggunakan enjin V6 serta motor elektrik yang dibangunkan sendiri oleh pasukan penyelidikan dan pembangunan Kumpulan Renault, Hypertech Alpine, yang terletak di fasiliti enjin Formula 1 mereka di Viry-Châtillon, Perancis.

Menurut Autocar, model rujukan utama bagi supercar Alpine ini mungkin ialah Ferrari SF90 Stradale, kerana Krief pernah bekerja dalam bahagian pembangunan produk Ferrari ketika SF90 dibangunkan. Walaubagaimanapun, Alpine akan mengambil pendekatan berbeza dalam rekaan motor elektrik. Berbanding dengan motor jenis axial-flux seperti yang digunakan Ferrari (direka oleh syarikat Yasa), Alpine akan menggunakan motor jenis radial-flux yang direka oleh pasukan dalaman mereka.

Krief menjelaskan, “motor axial-flux memang bagus untuk diletakkan antara enjin dan kotak gear. Tapi untuk gandar hadapan, saiz diameter yang besar bukanlah satu masalah.”

Sebelum ini, Alpine pernah memperkenalkan konsep Alpenglow Hy6, sebuah kereta dengan enjin V6 3.5 liter yang menggunakan bahan api hidrogen. Dalam konsep itu, kuasa yang dihasilkan ialah sekitar 740 PS dan enjinnya mampu dipusing sehingga 9,000 rpm.

Apabila supercar ini dilancarkan nanti, ia dijangka dijual pada harga lebih 200,000 euro (sekitar RM957,000), bagi memastikan projek ini menguntungkan. Krief turut berkata, “Kalau kita boleh jual Renault 5 Turbo pada harga 155,000 euro (RM741,000), tak mustahil Alpine boleh berada di tahap lebih tinggi dari itu.”

GALERI: Alpine Alpenglow Hy6 Concept

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required