Sekitar September tahun lepas, jenama kenderaan elektrik (EV) dari China, Hycan mengumumkan mereka mempunyai perancangan untuk masuk ke pasaran Malaysia pada suku pertama tahun 2025, dengan segala urusan pengedaran dan pemasaran akan diuruskan oleh syarikat tempatan yang dikenali sebagai Concept Fields. Tapi menariknya, Hycan turut menyatakan bahawa mereka akan guna nama berbeza di luar pasaran China.
Namun selepas pengumuman awal itu, semuanya sepi. Dua bulan selepas itu pula, timbul laporan bahawa syarikat yang berpusat di Guangzhou itu — yang asalnya ditubuhkan hasil kerjasama antara GAC Group dan Nio pada tahun 2018 — sebenarnya sedang bergelut di negara asal. Ini sekaligus menimbulkan persoalan sama ada Hycan betul-betul akan datang ke Malaysia atau tidak.
Tapi sekarang nampaknya seperti sudah mula ada pergerakan. Semalam, beberapa gambar muncul di laman perbincangan Facebook paultan.org menunjukkan model-model Hycan sudah berada di Malaysia. Lokasi sebenar tidak diberitahu, tapi yang pasti, SUV Hycan Z03 jelas kelihatan.
Satu lagi model yang turut kelihatan ialah Hycan A06, sebuah sedan yang dapat dikenal pasti melalui rekaan bampar depannya. Berbeza dengan model A06 Plus yang lebih murah, A06 ini nampak lebih sporty dan bergaya.
Perkara penting yang perlu diketahui, kedua-dua kereta yang dilihat itu adalah model pemanduan sebelah kiri dan besar kemungkinan dibawa masuk khas untuk ujian atau sesi pratonton sahaja, bukannya untuk jualan segera. Jadi, kita masih belum tahu bila (atau kalau) versi pemanduan sebelah kanan akan tiba ke sini.
Mengenali lebih dekat model Hycan ini, Z03 adalah sebuah SUV dalam segmen C yang menawarkan lima tempat duduk, dan ia sebenarnya dibangunkan mengunakan asas daripada model GAC Aion Y Plus. Melihat kepada saiz, ia mempunyai panjang 4,602 mm, lebar 1,900 mm, tinggi 1,645 mm dan jarak roda 2,750 mm.
Z03 ditawarkan dalam dua pilihan kuasa – satu varian menghasilkan 183 PS (135 kW), manakala satu lagi 217 PS (160 kW) – tork adalah sama iaitu 225 Nm. Untuk bateri, ada tiga pilihan yang disediakan di China – 55.5 kWh yang mampu memberikan jarak gerak 430 km, 63.98 kWh dengan jarak sekitar 510 km dan paling besar, 76.8 kWh yang boleh mencecah hingga 620 km (CLTC). Bagi pengecasan pantas DC, bateri 55.5 dan 63.98 kWh boleh dicas dari 30% hingga 80% dalam masa 36 minit, manakala bateri 76.8 kWh memerlukan sekitar 45 minit.
Model kedua yang turut dilihat di Malaysia ialah Hycan A06, sebuah sedan yang ditawarkan dalam tiga versi — pacuan depan (FWD) biasa, FWD dengan jarak pemanduan lebih jauh dan juga pacuan semua roda (AWD). Untuk varian FWD biasa, kuasanya ialah 183 PS dengan tork 225 Nm, manakala versi jarak jauh pula ada peningkatan kuasa kepada 217 PS, tapi tork masih sama. Paling mengujakan sudah tentu versi AWD yang memberikan kuasa 462 PS dan tork 534 Nm.
A06 juga hadir dengan dua kapasiti bateri iaitu 63 kWh dan 71 kWh, yang mampu memberikan jarak gerak masing-masing sehingga 550 dan 630 km, mengikut ujian CLTC. Menariknya, Hycan memberitahu, semua varian A06 ini menyokong pengecasan pantas dari 30% ke 80% dalam hanya 36 minit, tanpa mengira kapasiti bateri.
Satu lagi model yang disebut dalam pengumuman Hycan tahun lepas ialah Hycan V09, sebuah MPV elektrik mewah dengan tujuh tempat duduk. Walaupun masih belum kelihatan secara fizikal di Malaysia, kemunculan Z03 dan A06 mungkin petanda kuat bahawa V09 juga ada dalam perancangan. Saiznya pula adalah lebih besar berbanding Toyota Alphard.
Hycan V09 dilengkapi dengan motor elektrik yang diletakkan di bahagian depan, menghasilkan 275 PS (202 kW) dan tork 335 Nm. Sama seperti Z03, MPV ini juga ditawarkan dengan tiga pilihan bateri iaitu 92 kWh, 95.16 kWh dan 114.19 kWh. Melalui pakej bateri paling besar, jarak yang mampu dicapai boleh mencecah hingga 762 km, manakala varian paling kecil pula masih boleh bergerak sejauh 620 km — semuanya berdasarkan standard CLTC.
GALERI: Hycan Z03 SUV
GALERI: Hycan A06 sedan
GALERI: Hycan V09 MPV
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
hmm last year said got financial problem :X