Satu ketika dahulu, maksud penulis ketika era di mana televisyen menjadi sumber informasi dan hiburan utama kebanyakkan rakyat Malaysia, Proton seringkali hadir dengan iklan-iklan TV yang menarik. Antara genre yang diketengahkan oleh Proton dalam iklan-iklan berkenaan adalah genre ‘epik’, contohnya iklan Proton Tiara yang diispirasikan dari kisah Puteri Gunung Ledang dan juga iklan Proton Satria yang menggambarkan hatchback berkenaan ke medan perang bersama-sama tentera berkuda.
Buat yang rindu dengan iklan-iklan Proton sedemikian, iklan SUV EV Proton eMas 7 untuk pasaran Nepal ini mungkin dapat mengubat perasaan tersebut. Ini kerana iklan berkenaan dibuat dengan gaya yang agak sinematik seperti filem epik, serta penggambarannya dibuat di sekitar Nepal yang menampilkan pelbagai bentuk muka bumi yang mencabar, kawasan ladang teh, dan juga lokasi-lokasi ikonik negera tersebut seperti di Jambatan Dodhara Chandani.
Ia menampilkan Proton eMas 7 dalam varian Premium (berdasarkan rim 19-inci dan juga bumbung panaromik yang dipadankan), serta datang dalam warna badan hitam Moyu Black yang tidak ditawarkan di Malaysia.
Iklan ini dimuat naik menerusi akaun Youtube Proton International, yang nampaknya baru sahaja diwujudkan sebulan yang lalu dan nampak fokus untuk membawa nama Proton pada tahap global. Ia sesuai dengan apa yang dinyatakan oleh CEO Proton Dr. Li Chunrong yang menyatakan bahawa Proton akan mula ‘menggegar’ pasaran eksport pada 2026 bagi mencapai jualan 330,000 unit setahun menjelang 2030.
Proton eMas 7 ini dilancarkan di Nepal pada hujung Mac lalu. Di sana ia ditawarkan dalam dua varian dengan nama yang sama seperti di Malaysia iaitu eMas 7 Prime dijual pada harga atas jalan tanpa insuran NPR5,699,000 (sekitar RM183k), dan juga eMas 7 Premium berharga NPR6,799,000 (sekitar RM219k). Sebagai perbandingan, eMas 7 dijual di Malaysia pada harga RM109,800 untuk varian Prime dan RM123,800 untuk varian Premium.
Untuk unit rangkaian kuasa, kedua-dua varian eMas 7 pasaran Nepal ini sama seperti model pasaran Malaysia dengan menerima motor elektrik tunggal berkuasa 218 PS/320 Nm, dengan varian Prime diberikan bateri 49.52 kWj bagi memberikan jarak gerak sejauh 345 km (WLTP), manakala varian Premium pula diberikan bateri 60.22 kWj untuk jarak gerak 410 kWj (WLTP).
Begitu juga dengan spesifikasi dengan varian Prime menerima perincian seperti rim aloi 18-inci, skrin sesentuh infotainmen 15.4-inci dengan paparan 2.5k dan sistem bantuan pemandua termaju (ADAS) dengan kebolehan pemanduan Autonomi Tahap 2, manakala varian Premium ditambah dengan rim aloi 19-inci, sistem bunyi Flyme Audio dengan 16-pembesar suara, paparan head-up, tempat duduk hadapan berliang dan lain-lain.
GALERI: Proton eMas 7 pasaran Nepal
GALERI: Brosur rasmi Proton eMas 7 pasaran Nepal
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.