Dua pelumba Malaysia, Jazeman Jaafar dan Adrian D’Silva bakal membawa nama negara dalam perlumbaan Super GT pusingan ketiga 2025 yang bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang hujung bulan ini menerusi penyertaan secara wildcard.
Kedua-duanya bakal bertanding dalam kategori GT300 dengan jentera Aston Martin Vantage GT3 EVO pasukan Aston Martin EBM, di mana Jazeman akan berpasangan dengan pelumba Amerika Kerong Li, manakala D’Silva dalam jentera kedua pasukan berkenaan berpasangan dengan pelumba New Zealand, Earl Bamber.
“Saya berasa amat berbangga dan berbesar hati untuk mewakili Malaysia sebagai satu daripada hanya dua pemandu Malaysia yang bersaing dalam Super GT. Acara Super GT Malaysia ini menandakan peristiwa penting bagi saya, kerana ia akan menjadi penampilan sulung saya dalam kejohanan berprestij ini, sesuatu yang pada mulanya kami rancang untuk lakukan pada tahun 2020,” kata Jazeman ketika pelancaran perlumbaan berkenaan di Togeya Kuala Lumpur malam tadi.
“Sekarang, dengan peluang akhirnya di sini, saya datang dengan keyakinan yang kuat dalam pakej yang telah kami himpunkan. Saya akan berkongsi tugas memandu dengan Li, dan bersama-sama, pasukan telah bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk menyediakannya, dan saya benar-benar percaya kami mempunyai apa yang diperlukan untuk kompetitif,” tambahnya.
Perlumbaan ini akan berlangsung dari 26 hingga 28 Jun 2025. Ini merupakan kali pertama perlumbaan Super GT kembali ke Malaysia selepas 12 tahun di mana Sepang pernah menganjurkan perlumbaan tersebut bermula musim 2000 hingga 2013. Tiket sudahpun boleh dibeli secara online menerusi laman web rasmi Super GT Malaysia.
Tiket dijual pada harga RM100 untuk Grandstand K1, RM250 untuk Grandstand Utama, RM350 untuk GT Suite, RM500 untuk GT Live! Rock Zone, RM2,000 untuk GT Club Paddock serta bermula RM5,000 untuk pakej-pakej Ultimate dan Dream. Dan untuk pembelian tiket Grandstand Utama ke atas menggunakan Mastercard, anda bakal layak menyertai cabutan bertuah yang menawarkan hadiah utama berupa sebuah Toyota GR Supra.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.