Ketika pelancaran perlumbaan Autobacs Super GT 2025 pusingan ketiga yang akan dilangsungkan kembali di Litar Antarabangsa Petronas Sepang semalam, pemegang hak dan promoter untuk acara berkenaan iaitu Haro Sports & Entertainment mengumumkan bahawa penonton yang datang akan berpeluang untuk membawa pulang sebuah Toyota GR Supra menerusi cabutan bertuah yang akan dibuat.
Bagi membolehkan layak menyertai cabutan bertuah ini, anda perlulah membeli tiket (kecuali tiket Grandstand K1) dengan menggunakan Mastercard. Untuk mendapatkan tiket, anda sudah boleh membuat pembelian secara online menerusi laman web rasmi Super GT Malaysia. Tiket dijual pada harga RM100 untuk Grandstand K1, RM250 untuk Grandstand Utama, RM350 untuk GT Suite, RM500 untuk GT Live! Rock Zone, RM2,000 untuk GT Club Paddock serta bermula RM5,000 untuk pakej-pakej Ultimate dan Dream.
“Hadiah cabutan bertuah GR Supra adalah tawaran sekali dalam seumur hidup untuk mengalu-alukan kepulangan Super GT ke Malaysia selepas ketiadaannya selama 12 tahun, dan yang tidak mungkin dapat dicapai pada magnitud ini, tanpa kerjasama dengan rakan kongsi seperti Mastercard,” kata Rakan Pengurusan Haro Sports & Entertainment Fahrizal Hasan.
Menurut Haro, pemenang bagi Toyota GR Supra berkenaan akan ditentukan dalam cabutan yang akan dibuat secara langsung di atas pentas di hadapan penonton ketika berlangsungnya konsert selepas perlumbaan GT Live!
Sebelum ini UMW Toyota Motors dan juga Toyota Gazoo Racing Malaysia telah diumumkan sebagai penaja utama acara ini. Jadi selain dari perlumbaan utama GT500, GT300 dan juga perlumbaan ‘one make’ Toyota GR86 Cup Malaysia pusingan pertama, perlumbaan Vios Challenge untuk Toyota Gazoo Racing Festival musim ke lapan pusingan kedua turut akan diadakan sekali.
Untuk pusingan kedua Toyota Gazoo Racing Festival 2025, seperti biasa ia bukan hanya menampilkan aksi perlumbaan, malah turut diadakan pameran kereta lumba dan model-model eksklusif, zon interaktif bersama peminat dan simulator, penampilan pelumba dan duta Gazoo Racing serta pemberian eksklusif dan barangan rasmi jenama itu.
Bagi perlumbaan Toyota GR86 Cup Malaysia pula, perlumbaan yang dianjurkan oleh Haro ini kini disokong oleh Toyota dan juga Bridgestone sebagai pembekal tayar rasmi. Perlumbaan yang diadakan sempena Super GT ini merupakan perlumbaan pertama untuk musim pertama siri berkenaan, dan ia akan berlangsung sebanyak 10-lap.
Untuk konsert selepas perlumbaan GT Live yang dinyatakan tadi, ia akan menampilkan barisan artis tempatan dan antarabangsa, antaranya trio Tenxi, Naykilla & Jemsii aka TNJ dari Indonesia yang akan membuat persembahan “Garam & Madu (Sakit Dadaku)”, kumpulan penyanyi wanita KLP48 dari Malaysia tetapi terkenal dalam arena muzik J-Pop, Fareed dari kumpulan K-CLIQUE, Sabhi Saddi dan juga Kaka Azraff.
Perlumbaan ini akan berlangsung dari 26 hingga 28 Jun 2025. Ini merupakan kali pertama perlumbaan Super GT kembali ke Malaysia selepas 12 tahun di mana Sepang pernah menganjurkan perlumbaan tersebut bermula musim 2000 hingga 2013. Sebanyak lapan pusingan perlumbaan dirancang untuk siri perlumbaan Super GT bagi musim 2025 ini, bermula dengan pusingan pertama yang dilangsungkan di Litar Antarabangsa Okayama pada 12 hingga 13 April.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.