Geely baru saja memperkenalkan model flagship dalam barisan kenderaan tenaga baharu mereka yang dinamakan sebagai Geely Galaxy M9. Ia adalah sebuah SUV plug-in hybrid besar dengan enam tempat duduk dan jika anda pernah nampak model konsep Galaxy Starship tahun lepas, ini adalah versi produksinya.
Galaxy M9 ini menyertai dua lagi model SUV mewah tiga baris tempat duduk yang berada di bawah payung Geely Group iaitu Lynk & Co 900 dan Zeekr 9X. Tapi bagi Galaxy M9, rekaannya lebih “biasa” – tak terlalu garang, tapi tetap nampak elegan.
Di bahagian hadapan terdapat jalur lampu penuh dengan rekaan motif bintang dan lampu utama LED jenis projektor. Reka bentuk depan agak bersih kerana tidak mempunyai gril langsung sementara lampu belakang juga menggunakan motif bintang, dengan 816 lampu LED.
Dilihat dari tepi, ia tidak mengikut trend menggunakan pemegang pintu yang sama rata dengan badan, sebaliknya masih menggunakan pemegang pintu biasa. Keliling cermin terdapat kemasan krom dan c pillar mempunyai kedudukan yang agak tegak. Melengkapkan penampilannya adalah rim aloi multi-spoke dan muncung ekzos hiasan.
Masuk ke dalam, anda boleh nampak skrin gergasi 30 inci – dari tengah sampai ke depan penumpang – satu panel. Sistem infotainmen Flyme Auto siap dilengkapi AI generatif (dikatakan sebagai yang pertama dalam industri dengan memori adaptif dan dinamik).
Penumpang depan disediakan dengan penyandar kaki, sistem bunyi Flyme Sound dan peti sejuk kecil 9.1 liter di belakang konsol tengah. Penumpang baris kedua pula duduk atas kerusi kapten mewah dengan fungsi urutan 10 bahagian dan boleh menonton skrin di bumbung. Baris ketiga juga bukan calang-calang, boleh baring sampai 120 darjah dan mempunyai lantai rata.
Geely Galaxy M9 ni dibina atas platform GEA Evo dan menggunakan sistem hibrid prestasi tinggi EM-P. Uniknya, motor elektrik belakang diletak terus dalam hab roda, bukan di bahagian gandar tengah dan ini mungkin dibuat untuk memberikan lebih ruang kepada penumpang belakang dan but.
Untuk melakukan pecutan 0-100 km/j, Galaxy M9 mengambil masa 4.5 saat, manakala penggunaan minyak berada sekitar 4.8L/100km dengan jarak keseluruhan lebih 1,500km. Spesifikasi penuh belum diumumkan, tapi berkemungkinan besar Galaxy M9 ni akan menggunakan penggerak sama seperti Lynk & Co 900 – termasuk enjin 1.5L turbo (190PS/300Nm), 2.0L turbo (254PS/350Nm) dan motor elektrik depan-belakang yang boleh capai kuasa gabungan lebih 462PS/560Nm (tiga motor).
Geely M9 ni juga datang dengan sistem bantuan pemandu terbaru G-Pilot H5, lengkap dengan sensor lidar di atas cermin depan. Sistem ni boleh melakukan pemanduan separa automatik atas lebuhraya tanpa menggunakan peta HD.
Untuk pengetahuan, majlis pengenalan Galaxy M9 ni dibuat di Milan dan ini menjadi petunjuk bahawa Geely mungkin mahu memasarkan model ini secara global. Disebabkan itu, tidak mustahil jika satu hari nanti Proton juga akan membawanya masuk sebagai model PHEV flagship, mungkin digandingkan dengan Proton eMas 7 nanti.
Cuma satu, jika betul masuk Malaysia, ia bakal menjadi Proton paling mahal pernah dijual. X90 pun boleh jadi “murah” kalau dibandingkan dengan M9 ni. Adakah orang sanggup untuk membeli Proton dengan harga sebegitu dan ciri premium?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.