Menurut laporan berita dari NST, ujian rintis untuk sistem pemantau kelajuan dari satu titik ke satu titik yang lain (point-to-point) di bawah sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) belum lagi dimulakan. Laporan pada Mac lalu menyatakan bahawa ujian rintis tersebut bakal dimulakan pada 1 Jun di dua lebuhraya iaitu KL-Karak dan Lebuhraya Utara Selatan.
“Projek perintis sistem point-to-point belum bermula. Setakat ini, tiada maklumat mengenai bila ia dijadualkan bermula,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat menteri pengangkutan kepada akhbar berkenaan.
Mengikut rancangan awal, bagi Lebuhraya KL-Karak ujian ini akan dibuat bermula dari terowong Genting Sempah sehingga di kawasan rehat Gombak. Manakala di Lebuhraya Utara Selatan pula ujian ini akan bermula dari plaza tol Senawang sehingga ke plaza tol Simpang Ampat.
Menerusi sistem point-to-point ini kamera akan diletakkan pada titik permulaan dan titik akhir lokasi yang dinnyatakan, dan kesalahan akan ditentukan berdasarkan jarak dan masa yang digunakan. Antara kawasan yang disasarkan untuk menggunakan sistem ini adalah di kawasan yang selalu terjadinya kemalangan seperti laluan bermula di Terowong Menora ke kawasan rehat Sungai Perak.
“Projek akan dilaksana secara rintis di dua lokasi lebuh raya terbabit. Jika benar-benar efisien, kita sedia serahkannya untuk dilaksanakan. Sistem ini yang dipasang di plaza tol akan ambil bacaan masa perjalanan berdasarkan jarak ke jarak,” kata Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan (MOT), Datuk Jana Santhiran Muniayan dalam laporan sebelum ini.
“Contohnya pemandu dari Jalan Duta, Kuala Lumpur ke Tanjung Malim, Perak, tiba lebih awal dari masa sepatutnya, jadi nombor plat kenderaan akan dikesan dan saman dikeluarkan automatik,” tambahnya lagi. Sistem ini didakwa turut menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan sama ada sesebuah kereta itu ada singgah sementara di kawasan rehat untuk memanjangkan masa sekaligus mengelakkan dari disaman.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.