Program Penilaian Kereta Baharu Australasian (ANCAP) telah mengumumkan bahawa sedan MG5 yang dipertingkat dan diuji semula kini telahpun menerima penarafan 3-bintang berbanding sifar-bintang pada model yang diuji pada 2023. Menurut ANCAP, penarafan ini sah untuk MG5 yang dihasilkan selepas November 2024, menampilkan banyak tingkat taraf kelengkapan berbanding versi sifar-bintang yang dibuat antara Mac 2023 hingga September 2024.
Antara perincian yang telah dipertingkat pada MG5 yang dikemaskini ini termasuk pre-tensioner pada tali pinggang pada tempat duduk hadapan dan juga tempat duduk kiri dan kanan bahagian belakang, pengingat pemakaian tali pinggang untuk semua tempat duduk serta dilengkapi teknologi pengelak pelanggaran termasuk fungsi brek kecemasan automatik dan sistem sokongan lorong – semuanya kini standard untuk semua varian.
Dengan pemadanan pre-tensioner pada tali pinggang keledar dan pengehad beban, ia terbukti dapat mengurangkan kecederaan penumpang dalam ujian pelanggaran offset hadapan dan ujian pelanggaran hadapan penuh. Ujian tambahan turut dibuat pada MG5 kemaskini ini melibatkan ujian whiplash dan ujian impak terhadap pejalan kaki bersama ujian prestasi untuk sistem pengelak pelanggaran.
Hasilnya, untuk aspek Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP) kini mendapat markah 62% (naik dari 37%), Perlindungan Penumpang kanak-kanak diberikan markah 68% (naik dari 58%), perlindungan terhadap pengguna jalan raya lain kini 65% berbanding 42% sebelum ini, Bantuan keselamatan kini mencapai 59% barbanding hanya 13% sebelum ini.
Markah-markah yang diberikan mewakili untuk markah perlindungan kepala, dada, dan bahagian bawah kaki dilihat semakin baik dalam ujian offset, manakala risiko untuk kecederaan dalam ujian pelanggaran hadapan penuh juga kini lebih baik di mana aspek berkenaan markah untuk perlindungan leher pemandu dan perlindungan setiap penumpang telah dinaikkan kepada Bagus (markah penuh).
Bagi perlindungan dada penumpang belakang, ia kini sudahpun menerima markah dari teruk meningkat kepada marginal selepas dipasang dengan pre-tensioner dan pengehad beban untuk tali pinggang keledar berkenaan.
Peningkatan yang paling ketara dilihat adalah keupayaan sistem keselamatan aktif MG5 ini. Sistem brek kecemasan autonominya telah dipertingkatkan dengan fungsi yang lebih luas seperti senario kereta ke kereta, kereta ke pejalan kaki, kereta ke penunggang basikal dan kereta ke motosikal. Sistem sokongan lorong, termasuk bantuan kekal lorong dan penjaga lorong kecemasan (ELK), juga kini telah diberikan sebagai kelengkapan standard.
Walau bagaimanapun ANCAP menyatakan bahawa MG5 masih berada di belakang lawan-lawannya yang lain, terutumanya beg udara tengah masih ahi belum dipadankan.
“Kami memuji MG kerana mengambil peluang untuk meningkatkan prestasi keselamatan MG5. Peningkatan ini menunjukkan kemajuan penting,” kata CEO ANCAP, Carla Hoorweg.
“Walaupun penarafan ini adalah satu langkah untuk menaik, adalah penting bagi pengguna dan pengendali flit menyedari masih terdapat had keselamatan pada model ini Juga terdapat kenderaan lain di pasaran yang menawarkan prestasi keselamatan yang lebih mantap.”
Australia menerima unit MG5 ini terus dari China, berbeza dengan model pasaran Malaysia yang diambil dari Thailand yang sememangnya telah menerima pre-tensioner untuk tali pinggang keledar dan lebih baik dari versi sifar-bintang
Model pasaran Malaysia ini juga diberikan enam beg udara serta pakej MG Pilot yang menampilkan fungsi pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, amaran keluar lorong, bantuan tukar lorong dan amaran pelanggaran belakang. Namun sistem brek kecemasan automatik (AEB) tidak disertakan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.