Puspakom Sdn Bhd mengumumkan bahawa cawangan terbaharunya yang terletak di Pulau Langkawi telah pun memulakan operasi. Pastinya ia memberikan kemudahan yang lebih selesa dan mudah diakses kepada penduduk pulau itu untuk mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan.
Terletak di PT2942, Persiaran Bunga Raya Kuah, cawangan Langkawi ini menandakan komitmen berterusan Puspakom dalam memperluaskan capaian perkhidmatan di lokasi strategik bagi manfaat pelanggan. Ia juga dijangka akan memudahkan urusan pelanggan persendirian dan komersial di Langkawi untuk menjalani pemeriksaan kenderaan mengikut piawaian keselamatan dan peraturan jalan raya.
Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mahmood Razak Bahman berkata cawangan baharu yang diwujudkan di “Permata Kedah” itu merupakan antara komitmen Puspakom untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.
“Pembukaan cawangan baharu di Langkawi mencerminkan komitmen kami untuk memastikan akses yang lebih meluas kepada perkhidmatan pemeriksaan, selain menyediakan lokasi yang lebih strategik dan hampir dengan pusat bandar,” kata Mahmood.
Cawangan Puspakom Langkawi menawarkan perkhidmatan seperti Pemeriksaan Awalan, Pemeriksaan Berkala, Pemeriksaan Tukar Hak Milik, Pemeriksaan Sewa-Beli dan lain-lain. Ia beroperasi dari Ahad hingga Khamis bermula jam 8 pagi hingga 5.30 petang.
Dengan kapasiti pemeriksaan sehingga 100 kenderaan sehari, ia dilengkapi kemudahan seperti ruang menunggu berhawa dingin, surau dan tandas, serta dua lorong pemeriksaan untuk meningkatkan kecekapan operasi.
“Pembinaan cawangan tetap ini merupakan sebahagian daripada kempen #MacamBaharu iaitu satu inisiatif transformasi Puspakom dalam menuju ke arah menjadi organisasi yang lebih kompetitif, berkualiti serta berintegriti sejajar dengan pengalaman lebih 30 tahun dalam industri pemeriksaan kenderaan di Malaysia.
“Berbekalkan pengalaman lebih tiga dekad dalam industri ini, serta transformasi berterusan untuk kecemerlangan perkhidmatan, Puspakom akan terus mendahului pasaran walaupun dengan kemunculan pesaing kelak,” ujar Mahmood lagi.
Sebelum pembukaan Puspakom Langkawi, pelanggan mendapatkan pemeriksaan kenderaan di tapak pemeriksaan sementara Puspakom yang terletak di Kompleks Kilim. Tapak sementara ini telah beroperasi sejak tahun 2023 menggunakan Unit Trak Bergerak Puspakom dan menamatkan operasinya pada 30 Mei 2025.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.