Toyoya Malaysia baru-baru ini telah pun menganjurkan Hilux Unleashed: The Ultimate Challenge, iaitu acara berbentuk pencarian harta karun yang penuh aktiviti menyeronokkan yang direka bagi menyerlahkan kekuatan Hilux sebagai trak pikap.
Acara ini diadakan di tiga lokasi iaitu Kota Kinabalu di Sabah, Kuching di Sarawak dan juga di Melaka. Ia bukan hanya disertai pemilik-pemilik Hilux, malah turut melibatkan ahli keluarga dan sahabat handai masing-masing.
Di Kota Kinabalu, ia disertai oleh 121 orang yang membentuk 42 pasukan, bermula di Pacific Sutera Harbour pada 10 Mei. Aktiviti pencarian harta karun tersebut kemudiannya membawa peserta ke Anjung Waterfront, Bukit Kokol sehingga ke Tuaran.
Disamping itu, semua peserta juga berpeluang menyertai aktiviti lain termasuk taxi-ride laluan off-road, cabaran Pemantau Pandangan Panaromik (PVM) dan Titik Buta serta aktiviti pemanduan jitu menggunakan Hilux. Hilux Unleashed di KK ini tamat di Nexus Resort & Spa Karambunai, di mana Dolumin Dommin dan Team 32 mendapat tempat pertama, manakala Teo Seh Tiong dan Team 12, serta Rudy bin Borhan dan Team 23 masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Bagi acara yang berlangsung di Kuching, ia disertai oleh 138 peserta menerusi 45 pasukan, bermula du Hotel UCSI pada 17 Mei. Pengembaraan kali ini membawa peserta ke lokasi seperti Saradise, tugu kucing di Padungan, Samariang dan berakhir di Damai Lagoon.
Di Kuching acara ini diungguli oleh Lee Min Qi bersama Team Hilux 20, diikuti oleh Letizia anak Nicholas Steven bersama Team Hilux 31, dan tempat ketiga milik Serene Tan Yan Yu bersama Team Hilux 15. Seperti di KK, peserta-peserta di Kuching turut berpeluang menyertai taxi-ride laluan off-road, cabaran Pemantau Pandangan Panaromik (PVM) dan Titik Buta serta aktiviti pemanduan jitu menggunakan Hilux.
Manakala di Melaka, ia merupakan acara terbesar untuk siri Hilux Unleashed: The Ultimate Challenge 2025 ini di mana ia disertai oleh 41 pasukan menerusi 140 peserta dari Kuala Lumpur dan 49 pasukan yang terdiri dari 139 peserta dari Johor Bahru.
Diadakan pada 24 Mei, edisi ini bermula di Glenmarie Hotel & Golf Resort kemudian bergerak ke Selatan semenanjung Malaysia iaitu ke Pulai Spring Resort di Johor Bahru, dan selepas itu ‘naik’ semula ke utara untuk menamatkan cabaran di hotel DoubleTree by Hilton Melaka. Selain mencari harta karun, peserta turut diberikan peluang untuk memenangi hadiah dalam peraduan fotografi di laman media sosial.
Untuk peserta dari KL, ia dimenangi oleh Omar Abdul Rahman bersama Team Hilux 3, diikuti Faiz Kamaruzzaman dari Team Hilux 45 dan juga Kwan Siu Me dari Team Hilux 45. Manakala untuk peserta dari Johor Bahru, ia dimenangi oleh M. Dzulfaqar bersama Team Hilux 67, Ashley Wong bersama Team Hilux 68 dan Shawn Liew dari Team Hilux 71.
Toyota Malaysia turut mengadakan karnival jualan selama dua hari bersempena dengan Hilux Unleashed: The Ultimate Challenge yang diadakan KK, Kuching dan Melaka, masing-masing di Stadium Likas, Saradise dan Pantai Klebang. Selain pameran kereta dan pandu uji, terdapat juga taxi ride, pemeriksaan kenderaan percuma dan penilaian Topmark, serta barangan GR yang dijual pada acara berkenaan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.