Menjelang perlumbaan 24 Jam Le Mans yang akan berlangsung tidak lama lagi, McLaren mengeluarkan model khas 750S Le Mans untuk meraikan ulang tahun ke-30 kemenangan mereka dalam perlumbaan itu pada 18 Jun 1995. Pada ketika itu, kereta lumba F1 GTR #59 yang dipandu oleh JJ Lehto, Yannick Dalmas, dan Masanori Sekiya telah memenangi perlumbaan selama 24 jam tersebut, sementara tiga lagi kereta F1 GTR turut berjaya menduduki lima tempat teratas.
Model penghormatan baru ini dinamakan sebagai 750S Le Mans dan seperti model 720S Le Mans yang diperkenalkan lima tahun lalu, ia hanya akan dihasilkan sebanyak 50 unit sahaja. Untuk makluman, 750S merupakan asas kepada jentera perlumbaan McLaren GT Evo yang akan bersaing dalam kategori LMGT3 di edisi Le Mans tahun ini.
750S Le Mans memberi penghormatan kepada kereta #59 dengan warna badan Le Mans Grey, yang merujuk kepada livery jentera yang ditaja Uneo Clinic ketika memenangi perlumbaan. Pelanggan juga boleh memilih warna McLaren Orange, warna perlumbaan tradisional syarikat tersebut.
Setiap unit dilengkapi dengan High-Downforce Kit (HDK) yang termasuk splitter hadapan lebih besar, sayap belakang gentian karbon serta panel bawah berbentuk louver yang meningkatkan downforce sebanyak 10% berbanding model 750S biasa. Ia turut dilengkapi bukaan di atas bumbung dan rim lima jejari ‘LM’, inspirasi daripada rim OZ Racing yang digunakan pada kereta lumba F1 GTR asal – penutup tengah rim pula berwarna merah di satu sisi dan biru di sisi yang lain.
Dengan bayaran tambahan, pelanggan boleh memilih pakej brek untuk litar yang dilengkapi angkup brek berwarna keemasan seperti unit Brembo pada kereta lumba asal. Bahagian dalaman pula menawarkan dua tema pilihan serta dua jenis tempat duduk bucket dengan tali pinggang lumba lima bahagian berwarna biru. Turut disediakan adalah pelbagai pilihan komponen gentian karbon.
Bahagian enjin tidak berubah. Model ini masih menggunakan enjin petrol V8 4.0 liter turbo berkembar M840T yang menjana 750 PS (740 hp atau 552 kW) dan 800 Nm tork, disalurkan ke roda pacuan menerusi kotak gear klac berkembar tujuh kelajuan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.