Selepas dipertontonkan di Malaysia Autoshow Mei lalu, Proton eMas 5 kini dilihat pula sedang diuji di jalan awam.
Dikesan oleh seorang pembaca paultan.org, Amar di Melaka, EV kedua Proton itu masih mengenakan pelekat samaran, kali ini dengan tema hitam-putih dan bukan berwarna-warni seperti sebelumnya. eMas 5 ini juga bergerak bersama dengan sebuah lagi unit X50 facelift, model yang dijangka akan dilancarkan dalam masa terdekat. Semua lagi kereta yang ikut serta ialah Saga MC3.
Dijadualkan untuk pelancaran rasmi pada suku keempat 2025, eMas 5 berada di bawah eMas 7, dan menggunakan asas daripada Geely Star Wish, yang dijual di China dengan nama Xingyuan. Tiada perincian teknikal yang didedahkan oleh Proton setakat ini, tetapi Star Wish/Xingyuan di China menggunakan motor elektrik di belakang dengan janaan 79 PS (78 hp atau 58 kW) dan 130 Nm tork. Ini dipadankan dengan bateri lithium iron phosphate (LFP) 30.12-kWh yang memberikan jarak 310 km CLTC.
EV berkenaan juga ditawarkan dengan bateri LFP yang lebih besar, 40.16-kWh dengan jarak hingga 410 km CLTC, dengan janaan yang juga lebih besar, 116 PS (114 hp atau 85 kW) dan 150 Nm. Di China, ia dijual dengan harga antara 68,800 dan 97,800 yuan (sekitar RM40k hingga RM58k).
Untuk kelengkapan, Star Wish/Xingyuan datang dengan paparan instrumen digital 8.8-inci, skrin sentuh infotainmen 14.6-inci, lampu ambient 256 warna, papan pemuka dan panel pintu dengan lampu, pendingin automatik dengan corong di belakang, kerusi depan larasan kuasa, pengecas tanpa wayat Qi 50 watt, fungsi vehicle-to-load (V2L) 3.3 kW serta fungsi ADAS. Unit ujian ini menggunakan rim 16-inci.
eMas 5 dijangka tiba dalam bentuk CBU terlebih dahulu, memandangkan kilang EV Proton di Tanjung Malim hanya akan memasang eMas 7 terlebih dahulu sebaik mula beroperasi hujung tahun ini. Melihat kepada posisinya, eMas 5 akan dijual lebih murah berbanding eMas 7 yang ketika ini bermula dari RM105,800. Ketika ini, EV CBU tidak boleh dijual di bawah RM100k hingga akhir 2025.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.