Daihatsu Move generasi ketujuh kini diperkenalkan di Jepun. Model ini ditawarkan dalam empat varian dengan harga bermula dari 1,358,500 hingga 2,024,000 yen (lebih kurang RM40,000 hingga RM60,000). Bergantung kepada varian yang dipilih, Move akan dilengkapi sama ada dengan enjin biasa atau enjin turbo.
Kedua-dua enjin ini mempunyai kapasiti 658 cc. Untuk enjin tanpa turbo, ia menghasilkan kuasa sebanyak 52 PS (51 hp atau 38 kW) pada 6,900 rpm dan tork 60 Nm pada 3,600 rpm. Sementara itu, enjin turbo menghasilkan kuasa 64 PS (63 hp atau 47 kW) pada 6,400 rpm dan tork 100 Nm pada 3,600 rpm. Semua varian menggunakan transmisi CVT, dan pembeli boleh memilih sama ada pacuan dua roda (FWD) atau pacuan semua roda (AWD).
Kuasa maksimum dan saiz fizikal Move memenuhi piawaian untuk kereta kei di Jepun. Saiz kereta ini adalah kecil – panjang 3,395 mm, lebar 1,300 mm, tinggi 1,655 mm, dengan jarak antara roda (wheelbase) sepanjang 2,460 mm.
Model terbaru ini dibina berasaskan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) dan tampil dengan rekaan yang lebih moden serta dinamik berbanding model sebelumnya. Bampar hadapan berbentuk X digabungkan dengan lampu hadapan yang tirus dan bersambung dengan gril atas. Lampu belakang pula direka menegak dan bersambung dengan garisan sisi badan yang melengkung naik ke arah tingkap belakang.
Selain rekaan standard, Move juga boleh dilengkapi dengan dua pakej gaya pilihan, iaitu Dandy Sports dan Noble Chic (terjemahan terus dari bahasa Jepun). Dandy Sports memberi sentuhan lebih sporty dengan kemasan gelap, manakala Noble Chic pula menampilkan hiasan berwarna tembaga untuk rupa yang lebih elegan.
Antara perubahan menarik pada model baru ini adalah ia merupakan Move pertama yang dilengkapi dengan pintu gelungsur di bahagian belakang. Ini memudahkan penumpang keluar dan masuk, terutama di ruang parkir sempit.
Di bahagian dalam, rekaan papan pemuka tidak banyak berubah dan masih kelihatan seperti model lama. Namun, ada beberapa kemas kini penting. Contohnya, panel kawalan penyaman udara kini digital. Ruang simpanan di bawah corong udara tengah juga lebih besar dan boleh memuatkan pengecas telefon tanpa wayar. Selain itu, ruang simpanan di atas laci papan pemuka yang dahulunya bertutup kini terbuka.
Antara perubahan lain adalah rekaan stereng baru serta ruang simpanan kecil di sisi corong udara. Untuk sistem infotainmen, Daihatsu menawarkan skrin sesentuh bersaiz sembilan inci dan 10 inci. Terdapat juga pelbagai aksesori tambahan yang boleh dipilih.
Daihatsu turut menawarkan sistem keselamatan ADAS yang lengkap, dengan sehingga 17 fungsi – kebanyakannya datang sebagai ciri standard. Antara ciri yang disediakan termasuk brek kecemasan automatik, amaran keluar lorong dan kawalan kelajuan adaptif (adaptive cruise control).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.