Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengesahkan kadar penggunaan pengangkutan awam di Malaysia setakat ini hanya sekitar 20%, iaitu masih di bawah sasaran 40% seperti yang digariskan dalam Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030, laporan Harian Metro.
Katanya, ia merupakan cabaran untuk memastikan bagaimana dasar ini dapat dicapai mengikut apa yang dihasratkan.
Beliau berkata demikian menerusi forum yang membincangkan topik “Pengangkutan untuk Rakyat: Mengimbangi Antara Kemampuan Rakyat, Kualiti dan Kemampanan Pengangkutan Awam” di Menara Prasarana semalam.
Beliau turut menambah, pelaksanaan inisiatif Road to Rail sedang berjalan secara berfasa dan dijangka memberi impak besar kepada sektor logistik negara.
“Kita memang menggalakkan penggunaan rel. Sebab itu, inisiatif yang ingin kita fokuskan ialah Road to Rail untuk menggalakkan lebih banyak penggunaan rel bagi penghantaran kontena dan barangan.
“Apabila projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) siap kelak, ia akan meningkatkan penggunaan rel untuk penghantaran barangan dan kontena ke Pantai Timur, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pengangkutan darat seperti lori,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.