Selain dari Mercedes-AMG GT63 4Matic+ C192 yang dilancarkan pada pasaran tempatan hari ini, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) turut memperkenalkan sekali roadster SL generasi terkini dalam varian paling berkuasa dan dilengkapi unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV) – ini dia Mercedes-AMG SL63S E Performance juga telah dilancarkan secara rasmi di sini!
Model dengan kod generasi R232 ini dijual pada harga atas jalan bermula RM2,168,888, lebih mahal dari GT 63 yang berharga RM1.9 juta. Namun sekiranya anda mahukan pilihan yang mampu milik, Mercedes-AMG SL63 4Matic+ berkuasa 585 PS/800 Nm sudah pun dilancarkan di sini pada harga RM1.9 juta, dan juga Mercedes-AMG SL43 berkuasa 381 PS/480 Nm juga sudah dilancarkan dengan harga RM1 juta.
Bagi model SL63S E Performance ini, ia masih menggunakan enjin V8 4.0 liter twin-turbo namun ia ditala dengan kuasa 612 PS dan tork maksima 850 Nm, digandingkan bersama kotak gear automatik sembilan kelajuan AMG Speedshift MCT 9G. Tak cukup dengan itu, satu lagi motor elektrik berkuasa 204 PS/320 Nm turut dipadankan pada gandar belakang lengkap dengan kotak gear dua-kelajuan. Ia juga hadir dengan sistem pacuan semua roda 4Matic+ bersama LSD yang dipadankan pada gandar belakang.
Gandingan semua ini Mercedes-AMG SL63S E Performance dapat dibekalkan dengan kuasa keseluruhan 816 PS dan tork maksima 1,420 Nm! Ia diterjemahkan dengan pecutan 0-100 km/j yang dapat dicapai dalam masa hanya 2.9 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 317 km/j.
Motor elektrik yang dipadankan pada roadster ini menerima kuasa dari bateri 400 V 6.1 kWj yang diletakkan di bahagian belakang, menerima sistem penyejukkan terus bagi memastikan ia sentiasa dalam suhu operasi optima sekitar 45 darjah celsius. Ia boleh dicas semula seperti EV sebenar dengan pengecas AC 3.7 kW, dan boleh bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya sejauh 13 km.
Unit rangkaian kuasa PHEV ini memberikan lapan mod pemanduan iaitu Electric, Battery Hold, Comfort, Smoothness, Sport, Sport+, Race dan Individual. Dalam semua mod kecuali Smoothness, empat tahap regenerative braking (untuk mengecas semula bateri hibrid ketika nyah pecut) boleh dipilih, dan pada larasan tertinggi roadster ini boleh dipandu dengan satu pedal seperti EV sebenar. Sistem regen ini juga boleh menyuap kembali sehingga 100 kW kuasa elektrik kepada bateri.
Model generasi baharu ini sebenarnya berkongsi platform dengan model GT Coupe C192. Oleh itu ia turut menampilkan tempat duduk belakang, menjadikan ia SL pertama yang dibina sebagai roadster 2+2 sejak generasi R129. Seperti biasa, bumbung fabrik adalah wajib untuk SL dan ia boleh dibuka pada kelajuan 60 km/j dan lengkap dalam masa 15 saat.
Model pasaran Malaysia ini turut diberikan standard dengan pakej penggayaan AMG Night, AMG Aerodynamics dan juga AMG Exterior Carbon Fibre. Penampilan luaran dilengkapkan dengan set rim aloi forged AMG berdiameter 21-inci.
Sama seperti AMG GT63, SL63S ini juga turut menerima sistem aerodinamik aktif Airpanel yang menampilkan bilah tersembunyi di sebalik liang udara bawah apron hadapan, dan juga di belakang liang udara atas. Bilah ini akan sentiasa tertutup bagi membolehkan udara mengalir ke bahagian bawah kereta bagi mengurangkan bahagian hadapan yang terangkat. Ia hanya akan terbuka untuk mengalirkan udara sekiranya ada komponen yang mula mencapai suhu tertentu untuk disejukkan.
Udara yang dialirkan ke bawah badan berkenaan akan melalui profil karbon yang ditimbang hanya dua kilogram, memberikan kesan venturi yang cukup untuk ‘menyedut’ bahagian hadapan kereta ini ke permukaan jalan sekitar 40 mm pada kelajuan 80 km/j, seterusnya memberikan cengkaman dan pengendalian lebih baik.
Spoiler belakang juga merupakan sebahagian daripada sistem aerodinamik aktif di mana ia akan dilaras dalam lima sudut berbeza bermula kelajuan 80 km/j dan ke atas sama ada untuk memberikan kestabilan lebih baik atau mengurangkan rintangan bagi mencapai kelajuan maksima.
Untuk pengendalian, roadster ini datang standard dengan suspensi adaptif AMG Active Ride Control bersama sistem penstabil olengan aktif, dan juga sistem stereng untuk gandar belakang. Manakala untuk brek, ia menerima sistem karbon seramik dengan cakera 420 mm dan angkup enam omboh di hadapan, serta cakera 380 mm dengan angkup omboh tunggal tetap di belakang.
Pada bahagian dalaman pula Mercedes-AMG SL63S E Performance ini menampilkan perincian seperti tempat duduk AMG Performance yang disertakan bersama skaf udara, tiga program pengurut, liang udara pada perehat badan belakang, serta upholsteri kulit Manufaktur Nappa.
Ia juga diberikan pakej Energizing Package Plus yang disatukan bersama fungsi tempat duduk dan lampu suasana bagi mewujudkan program comfort untuk merehatkan badan, serta sistem infotainmen MBUX yang disepadukan dengan pelbagai paparan dan fungsi untuk mod AMG dan hibrid.
GALERI: Gambar rasmi Mercedes-AMG SL63S E Performance 2025 pasaran Malaysia
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.