Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah membuka kertas siasatan terhadap syarikat lori yang terbabit dalam kemalangan maut yang meragut nyawa sembilan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak bulan lalu, lapor Bernama.
Pengarah Penguatkuasaan Kanan JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan mendedah bahawa siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 57 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
“JPJ telah menyita lori yang terlibat, dan pegawai penyiasat telah diarahkan untuk melengkapkan kertas siasatan menjelang hujung bulan ini. Sebaik sahaja lengkap, kertas berkenaan akan diserahkan kepada pendakwa raya bagi tindakan lanjut,” jelas beliau, yang menambah bahawa siasatan awal mendapati syarikat terbabti telah melanggar syarat permit.
“Syarikat itu telah didapati melanggar syarat permit dengan membawa muatan yang tidak disahkan, iaitu batu, sementara permit yang diberikan adalah untuk membawa arang. Kami masih menyiasat kes ini dan tindakan sewajarnya akan diambil,” jelasnya.
Dalam hal berkaitan, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata memaklumkan hasil siasatan berkaitan insiden maut itu akan dibentangkan kepada kabinet minggu depan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.