Mazda CX-60 kini secara rasmi dibuka untuk tempahan di Malaysia, dengan laman khas pendaftaran minat (ROI) telah disiarkan di laman web Mazda Malaysia.
Seperti yang kami perolehi daripada pengedar sebelum ini, CX-60 akan diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun dan ditawarkan dalam satu varian sahaja iaitu 2.5G 2WD High. Menurut senarai harga di halaman ROI, varian ini dijangka dijual pada harga RM200,510.40 atas jalan tanpa insurans, sementara harga RM198,900 yang diiklankan pengedar sebelum ini adalah sebelum kos atas jalan (OTR).
Pembeli ditawarkan pilihan lima warna iaitu Soul Red Crystal, Jet Black, Zircon Sand, Platinum Quartz dan Rhodium White. Harga yang dinyatakan merangkumi filem penapis haba (tint), jaminan lima tahun atau 100,000 km serta penyelenggaraan percuma.
Laman ROI itu tidak menyatakan perincian penggerak atau kelengkapan, namun model ini dijangka akan menggunakan enjin petrol empat silinder Skyactiv-G 2.5 liter NA, dengan kuasa 191 PS (189 hp atau 141 kW) dan tork 261 Nm. Kuasa disalurkan ke roda belakang melalui transmisi automatik lapan kelajuan – konfigurasi yang sama seperti versi yang ditawarkan di Singapura. Malangnya, Malaysia tidak akan menerima model CX-60 dengan enjin enam silinder sebaris seperti yang ditawarkan di Indonesia dan Filipina.
Dari segi dimensi, CX-60 berukuran antara 4,740 hingga 4,745 mm panjang, 1,890 mm lebar, 1,680 mm tinggi, dengan jarak roda 2,870 mm. Ini menjadikannya lebih besar berbanding CX-5 yang berukuran 4,575 mm panjang, 1,845 mm lebar, 1,675 mm tinggi dan jarak roda 2,700 mm.
Dengan harga anggaran tersebut, CX-60 diletakkan lebih tinggi berbanding CX-5 yang dijual antara RM144,469 hingga RM188,760 atas jalan tanpa insurans – kedua-duanya merupakan SUV lima tempat duduk. Ini bermakna CX-60 hampir RM12,000 lebih mahal berbanding varian tertinggi CX-5 yang dilengkapi pacuan semua roda dan enjin petrol 2.5 liter turbo empat silinder sebaris dengan 231 PS (228 hp atau 170 kW) dan tork 420 Nm.
Mazda Malaysia tidak menyatakan tarikh pelancaran di halaman ROI, tetapi sekadar memaklumkan bahawa SUV ini akan tiba “tidak lama lagi” – menurut pengedar, penghantaran dijangka bermula pada bulan September.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.