Proton eMas 7 catat jualan bulanan terbaik sejak pelancaran – 916 unit termasuk eksport pada Mei

Proton eMas 7 catat jualan bulanan terbaik sejak pelancaran – 916 unit termasuk eksport pada Mei

Tidak cukup dengan kerap mendahului jualan kenderaan elektrik di Malaysia setiap bulan, Proton eMas 7 kini mencatat jualan bulanan terbaik sejak pelancarannya pada Disember lalu. Menurut Proton, EV pertamanya itu berjaya dijual sebanyak 916 unit (termasuk eksport) pada Mei 2025, sekaligus meningkatkan jumlah jualannya tahun ini kepada 3,632 unit, termasuk 233 unit yang dieksport ke luar negara.

Bulan April sebelum ini merupakan bulan jualan terbaik bagi SUV tanpa emisi tersebut (863 unit), dengan Pro-Net menyatakan bahawa seorang rakyat Malaysia membeli eMas 7 setiap jam – statistik yang menggelikan hati ini dijangka sedikit lebih baik pada bulan Mei.

Proton juga mengumumkan bahawa eMas 7 akan diperkenalkan di Trinidad dan Tobago pada bulan ini. Sehingga kini, Nepal merupakan satu-satunya pasaran eksport untuk model ini (sebuah tayangan telah diadakan di Singapura bulan lalu). Pasaran lain yang berpotensi adalah Mauritius dan Brunei, tetapi masih belum ada petunjuk bila ia akan dilancarkan.

Di Malaysia, eMas 7 ditawarkan pada harga RM109,800 untuk varian Prime dan RM123,800 untuk varian Premium; dengan diskaun RM4,000 untuk 6,000 pembeli pertama, harga tersebut diturunkan kepada masing-masing RM105,800 dan RM119,800. Kedua-dua varian ini dikuasakan oleh motor hadapan yang menghasilkan 218 PS (160 kW) dan tork 320 Nm, membolehkannya memecut 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat.

Perbezaan utama antara kedua-dua varian terletak pada kapasiti bateri lithium iron phosphate (LFP) jenis Aegis yang digunakan. Varian Prime dilengkapi dengan pek bateri 49.52 kWh, menawarkan jarak WLTP sejauh 345 km manakala varian Premium dengan pek bateri lebih besar, berkapasiti 60.22 kWh membolehkannya bergerak sejauh 410 km dalam satu cas penuh.

Berkenaan bateri, Geely baru-baru ini telah menguji keselamatan bateri yang digunakan dalam model Galaxy E5 – yang merupakan kembar kepada eMas 7 – dengan menggilisnya menggunakan sebuah kereta kebal seberat 36 tan. Langkah ini bertujuan untuk menunjukkan tahap keselamatan bateri tersebut.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required