Pagi ini mengundang berita duka dengan berita kemalangan bas yang berlaku di Jalan Jeli – Grik berhampiran Tasik Banding, Perak, yang mengakibatkan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) disahkan maut dan tujuh parah.
Sinar Harian melaporkan nahas terbabit berlaku sekitar jam 1 pagi melibatkan bas yang membawa 42 pelajar UPSI dengan sebuah Perodua Alza.
Difahamkan bas berkenaan adalah disewa khas bagi membawa pelajar UPSI dari Terengganu dan Kelantan yang pulang menyambut perayaan Aidiladha kembali ke kampus bagi memulakan pengajian mereka hari ini. Manakala pemandu Perodua Alza dan tiga lagi penumpangnya yang merupakan isteri dan dua orang anaknya juga dilaporkan mengalami kecederaan.
“Kematian melibatkan 13 mangsa di lokasi kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia di hospital. Setakat ini, tujuh mangsa berada dalam zon merah, 20 mangsa di zon kuning dan 16 mangsa di zon hijau di Hospital Gerik,” menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.
Menteri Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Alexander Nanda Linggi berkata, pihaknya telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya bersama-sama dengan pihak konsesi penyelenggaraan memberikan bantuan dalam bentuk nasihat serta kepakaran teknikal sekiranya diperlukan oleh pihak berkuasa.
“Saya juga memohon jasa baik orang ramai untuk memberikan ruang kepada pihak berkuasa agar siasatan dapat berjalan dengan lancar dan menyeluruh.
“Saya dan seluruh pasukan KKR akan terus memantau perkembangan siasatan ini dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi memastikan keadilan dan keselamatan awam terjamin,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.