Apabila berita mengenai kemalangan jalan raya dikongsi di laman media sosial, pasti ramai netizen menuding jari menyalahkan pihak berkuasa dan agensi berkaitan kerana ‘dikatakan’ kurang tindakan yang berkesan bagi mengurangkan kadar kemalangan. Isu penguatkuasaan sering kali dibangkitkan terutamanya jika kemalangan terbabit melibatkan kenderaan berat termasuk lori dan bas. Begitu juga dengan kondisi jalan termasuk kurang atau tiada lampu jalan, garisan jalan yang pudar, jalan berlubang dan sebagainya.
Susulan isu yang tidak pernah surut diperkatakan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata walau pun pelbagai usaha dibuat pihak berkuasa dan agensi berkaitan untuk mengurangkan kadar kemalangan maut namun pada akhirnya segala-galanya terletak pada sikap pemandu itu sendiri, laporan Harian Metro.
Katanya, pelbagai kempen kesedaran dan keselamatan jalan raya sudah dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) serta agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) selain pemantauan dan kawalan di lokasi panas (hotspot).
“Dalam konteks penugasan PDRM, khususnya Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), kita sentiasa melaksanakan pemantauan dan kawalan di lokasi panas, mengambil tindakan terhadap pemandu yang melakukan kesalahan lalu-lintas termasuk memberi peringatan dan saman serta mencadangkan untuk menyenarai hitam mereka yang dikesan melakukan kesalahan berat.
“Bagaimanapun usaha kerajaan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutama kemalangan maut tidak akan berjaya sekiranya pemandu tidak bersama-sama mematuhi segala undang-undang yang ditetapkan,” katanya yang turut menambah walau pelbagai usaha bagi memastikan undang-undang jalan raya dipatuhi, pada akhirnya ia terletak pada tangan pemandu itu sendiri.
Malah katanya, kemalangan maut yang berlaku pada 13 Mei lalu sehingga meragut nyawa sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) serta kejadian kemalangan maut lain masih belum dijadikan iktibar oleh sebahagian pemandu.
“Sekiranya sikap cuai, lalai, tidak menghiraukan keselamatan pengguna jalan raya lain dan pentingkan diri masih ada dalam diri pemandu, maka kejadian kemalangan jalan raya akan terus berlaku. Ini belum mengambil kira lagi faktor kenderaan berat seperti lori dan bas yang tidak layak berada di atas jalan raya namun masih digunakan oleh pihak tertentu.
“Sekiranya faktor cuai, lalai dan pentingkan diri sendiri menjadi punca berlakunya kemalangan maka hukuman sewajarnya patut dikenakan terhadap mereka yang disabitkan kesalahan mengikut peruntukan undang-undang yang ada,” katanya.
Tambahnya, beliau yakin dan percaya bahawa PDRM akan terus menjalankan tugas dan amanah yang diberikan dalam memastikan undang-undang keselamatan jalan raya dipatuhi semua pengguna melalui kawalan, penguatkuasaan dan pemantauan pada setiap masa.
Mengenai sama ada hukuman masih dianggap ringan hingga masih belum mendatangkan kesedaran dalam kalangan pemandu, beliau menjawab, segalanya terletak pada bidang kuasa Jawatankuasa Kabinet mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Saya percaya segala keputusan dan perancangan oleh jawatankuasa berkenaan adalah relevan dan sesuai digunapakai pada masa ini dengan mengambil kira segala faktor terkini mengenai tahap keselamatan jalan raya di negara kita,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.