Semasa acara Worldwide Developers Conference (WWDC) baru-baru ini, Apple memperkenalkan sistem pengendalian terbaru untuk iPhone – iOS 26 – yang dijangka dilancarkan kepada pengguna dalam masa beberapa bulan lagi (kemungkinan besar pada September).
Jika anda perasan, Apple kini mengubah cara penamaan versi iOS, menyerupai bagaimana jenama kereta melabel model baru mereka. Jadi, versi iOS 19 hingga iOS 25 dilangkau, dan kini terus pergi ke iOS 26 – menyamai tahun 2026.
Perubahan ini bukan sahaja berlaku pada iPhone, tetapi turut melibatkan semua produk Apple. Kita akan lihat iPadOS 26, macOS Tahoe 26, watchOS 26, tvOS 26 dan visionOS 26 dilancarkan serentak.
Antara sorotan utama WWDC tahun ini ialah pengenalan gaya reka bentuk baru yang dipanggil sebagai Liquid Glass. Reka bentuk ini memberikan paparan antaramuka (interface) yang lebih ekspresif dan berkilat, seakan-akan kaca – satu perubahan besar sejak Apple berpindah daripada gaya skeuomorphic kepada rekaan flat bermula iOS 7.
Perlu diketahui, iOS 26 bukan sekadar perubahan kosmetik. Apple turut memperkenalkan pelbagai fungsi baru untuk menjadikan pengalaman menggunakan iPhone lebih intuitif, mesra pengguna dan kurang mengganggu. Aplikasi turut dikemaskini, dengan salah satu yang paling ketara ialah CarPlay, yang menurut Apple kini digunakan lebih 600 juta kali setiap hari.
CarPlay akan menggunakan reka bentuk Liquid Glass dan tampil dengan paparan panggilan masuk baru yang lebih ringkas. Ini membolehkan pemandu melihat siapa yang membuat panggilan tanpa menutup paparan navigasi dan tidak terlepas penunjuk penting seperti arah belok.
Apple turut memperkenalkan widget baru, di mana anda boleh mengawal peranti pintar seperti lampu rumah atau pintu garaj terus dari skrin kereta. Widget ini juga menyokong fungsi Live Activities, jadi anda boleh kekal mengikuti perkembangan aktiviti tanpa terganggu dari pemanduan.
Untuk aplikasi Messages, pengguna kini boleh tanda (pin) perbualan penting dan membalas mesej dengan Tapbacks – iaitu emoji ringkas seperti yang biasa kita guna dalam WhatsApp atau Telegram.
Semua ini juga akan hadir dalam CarPlay Ultra, versi lebih canggih yang diumumkan bulan lalu. Kereta Aston Martin akan menjadi yang pertama menerima integrasi mendalam ini, diikuti model daripada Hyundai, Kia dan Genesis.
Bagi Apple Maps, ciri baru dipanggil Visited Places diperkenal, yang membolehkan anda melihat semula lokasi yang pernah anda kunjungi. Apple menegaskan bahawa maklumat ini dijadikan sulit hujung ke hujung (end-to-end encryption) dan mereka sendiri tidak boleh mengaksesnya.
Satu lagi yang menarik, iPhone kini mampu mengenal pasti laluan harian anda menggunakan kecerdasan pada peranti dan akan memberi cadangan laluan ke rumah atau pejabat secara automatik – lengkap dengan pemberitahuan kelewatan dan pilihan laluan alternatif.
Secara keseluruhan, Apple nampaknya benar-benar meletakkan sasaran untuk menjadikan peranti mereka lebih mesra pengguna, bergaya dan bijak. Dengan gabungan reka bentuk baru dan fungsi pintar, iOS 26 bukan sekadar nombor – ia permulaan era baharu dalam ekosistem Apple.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.