Honda Malaysia (HM) telah mengumumkan kempen panggilan balik (recall) terkini yang melibatkan 87,490 kenderaan keluarannya untuk menggantikan fuel pump atau pam bahan api sebagai langkah berjaga-jaga. Panggilan balik ini melibatkan model Jazz, City, Civic, Accord, BR-V, HR-V, CR-V dan Odyssey. Terdapat dua jenis pam yang perlu diganti iaitu jenis fuel pump impeller (pendesak pam bahan api) dan high pressure fuel pump (pam bahan api bertekanan tinggi).
Bagi fuel pump impeller, ia mungkin mengembang selepas direndam dalam bahan api untuk tempoh yang lama, yang berpotensi menghalang kenderaan daripada dihidupkan atau menyebabkan enjin mati semasa memandu. Ia melibatkan sejumlah 84,073 unit iaitu Jazz (tahun buatan 2015-2020), Jazz Hybrid (2018), City (2014-2019), City Hybrid (2018-2019), Civic (2017-2018), Accord (2013-2017), BR-V (2017-2018), HR-V (2015-2018), CR-V (2018-2020) dan Odyssey (2017-2019).
Manakala bagi high pressure fuel pump, ia mungkin retak akibat penggunaan berpanjangan dan tekanan yang berlebihan, yang berpotensi menyebabkan kebocoran bahan api atau menghasilkan bau bahan api semasa memandu atau ketika enjin melahu. Sebanyak 3,417 unit model Civic (tahun buatan 2023-2024) dan CR-V (2024) terlibat.
“Honda Malaysia memohon maaf atas kesulitan yang dialami oleh pelanggan yang terjejas dan memberi jaminan bahawa semua model yang sedang dikeluarkan dan dijual pada masa ini tidak terlibat dalam panggilan semula produk ini.
“Kami percaya bahawa panggilan semula produk ini adalah perlu kerana keselamatan pelanggan merupakan keutamaan utama syarikat. Syarikat akan terus mengambil langkah proaktif serta mengekalkan ketelusan dan kawalan yang ketat bagi memastikan keselamatan pelanggannya. Sehubungan itu, kami melanjutkan panggilan semula ini kepada model yang telah tamat tempoh waranti,”kata HM menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Menurut HM lagi, semua pelanggan yang terjejas akan dimaklumkan melalui surat pemberitahuan yang akan mengandungi butiran mengenai panggilan semula produk ini. Pelanggan juga boleh menyemak sama ada kenderaan mereka terlibat dalam panggilan semula ini melalui aplikasi HondaTouch.
“Kami menggesa semua pelanggan yang terjejas supaya menghubungi mana-mana pengedar sah Honda untuk membuat janji temu sebaik sahaja menerima pemberitahuan tersebut bagi menggantikan fuel pump tersebut, tertakluk kepada ketersediaan alat ganti.
“Penggantian kedua-dua jenis pam yang terjejas adalah percuma dan semua kos yang berkaitan dengan aktiviti penggantian ini akan ditanggung oleh Honda Malaysia. Stok alat ganti untuk penggantian akan tersedia secara berperingkat,”katanya lagi sambil menambah setakat hari ini, tiada insiden kemalangan atau kecederaan yang disebabkan oleh isu-isu ini dilaporkan di Malaysia.
Untuk pemilik kenderaan yang ingin mengesahkan maklumat atau memeriksa status kenderaan masing-masing berhubung panggilan semula ini, bolehlah menyemaknya menerusi status HondaTouch atau hubungi Talian bebas tol Honda Malaysia di 1-800-88-2020 atau productrecall.honda.com.my.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.