Porsche E Sport Sprint Challenge Malaysia 2025 – aksi akhir di Sepang hangat bak perlumbaan sebenar!

Porsche E Sport Sprint Challenge Malaysia 2025 – aksi akhir di Sepang hangat bak perlumbaan sebenar!

Perlumbaan simulator anjuran Porsche Malaysia iaitu Porsche E Sport Sprint Challenge Malaysia (PESSCM) bagi musim 2025 sudahpun tamat dengan pusingan akhir berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang hujung minggu lalu iaitu pada 8 Jun 2025, serentak dengan dengan perlumbaan sebenar Porsche Carrera Cup Asia 2025 pusingan 6 dan 7.

Walaupun hanya berlangsung di Paddock, PESSCM ini menyajikan kehangatan yang sama seperti persaingan Porsche Carrera Cup Asia sebenar – baik dari segi catatan ujian kelayakan yang menyamai masa yang dicatatkan oleh pelumba sebenar dan juga ‘dogfight’ yang sengit bagi merebut kedudukan terbaik bagi menamatkan perlumbaan.

Tiga kategori dipertandingkan untuk PESSCM 2025 ini di mana ia bertujuan untuk mencungkil bakat-bakat muda dalam perlumbaan simulator, di mana sekarang ini semakin ramai pelumba-pelumba simulator dilihat berjaya ditawarkan peluang untuk berlumba dengan kereta sebenar. Kategori-kategori tersebut adalah Junior Dreamers (10 hingga 14 tahun), Young Dreamers (15 hingga 17 tahun) dan juga Driven Dreamers (18 hingga 25 tahun).

Sepuluh pelumba bertanding untuk setiap kategori dalam pusingan akhir ini. Bagi kategori Driven Dreamers, ia dikuasai oleh ‘adik-beradik Azlan’ yang semenangnya dikenali sebagai kuasa besar dunia perlumbaan simulator tempatan, di mana Naquib Azlan dinobatkan sebagai pemenang diikuti Nabil Azlan di tempat kedua. Melengkapkan podium kategori ini adalah Zeth Yuen, yang merupakan salah seorang pemenang podium bagi kategori Young Dreamers tahun lalu.

Dalam kategori Young Dreamers pula, ia dimenangi oleh Dhevesh Geeva dan diikuti oleh Ethen Low di tempat kedua serta Nazyff Zain di tempat ketiga. Manakala bagi kategori paling muda iaitu Junior Dreamers, persaingan yang ditunjukkan oleh pelumba-pelumba ini antara yang mendebarkan penonton yang hadir. Jonas Tan yang dilihat berpotensi untuk menang dalam perlumbaan ini terlibat dalam insiden babak-babak awal perlumbaan yang menyebabkan dia berpusing.

Namun Tan mempamerkan pemanduan yang begitu konsisten selepas itu dan berjaya berada di tempat ketiga setelah tamat perlumbaan. Perlumbaan ini pada awalnya diungguli oleh pelumba berusia 10-tahun, Aydrea Amit yang selesa berada di hadapan meninggalkan kelompok kedua.

Walau bagaimanapun pada babak-babak akhir perlumbaan Anson Yong yang berada di tempat kedua mengejar Aydrea dan kemudiannya menyaksikan pendahulu perlumbaan bertukar beberapa kali antara kedua-dua pelumba muda tersebut. Namun akhirnya Aydrea berjaya menamatkan perlumbaan ini sebagai juara, dan Anson Yong berada di tempat kedua.

Sebenarnya persaingan untuk PESSCM ini sudahpun bermula tiga bulan lalu, di mana pelumba-pelumba memulakan sesi kelayakan pertama di empat pusat Porsche Malaysia iaitu di Porsche Centre Ara Damansara pada 26 hingga 27 April, Porsche Centre Johor Bahru pada 3 hingga 4 Mei, Porsche Centre Penang pada 10 hingga 11 Mei dan Porsche Centre Sungai Besi pada 17 hingga 18 Mei.

30 pelumba terpantas kemudiannya layak untuk ke sesi kelayakan kedua dan bertanding di pusat Porsche yang sama mereka membuat catatan masa pada sesi kelayakan pertama, kemudian 10 pelumba terpantas dari pusat-pusat Porsche berkenaan mara ke sesi kelayakan ketiga yang berlangsung pada 25 dan 26 Mei lalu di Bangsar Shopping Centre.

Pelumba-pelumba ini bertanding di atas pelantar simulator RaceRoom dengan jentera yang sama dengan perlumbaan Porsche Carrera Cup Asia iaitu 911 GT3 RS, serta litar-litar yang sama dengan siri perlumbaan tersebut iaitu Twin Ring Motegi di Jepun, Litar Antarabangsa Buriram di Thailand, Litar Antarabangsa Shanghai di China serta Litar Antarabangsa Sepang di Malaysia.

Pada pusingan akhir, para pelumba diberikan peluang untuk mencatatkan masa terpantas dalam satu sesi kelayakan selama 15-minit bagi menentukan kedudukan grid bagi memulakan perlumbaan sebenar.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required