Bagi minggu bertarikh 12 hingga 18 Jun 2025, Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bahawa harga runcit semua bahan api utama dikekalkan seperti minggu sebelumnya.
Di mana petrol RON 97 kekal berharga RM3.07 seliter. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.
Bukan itu sahaja, harga runcit bagi diesel yang dijual di Semenanjung Malaysia juga dikekalkan kepada RM2.74 seliter. Manakala harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.
Akhir Mei lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan akan tetap melaksanakan rasionalisasi subsidi RON95 seperti yang dirancang pada separuh kedua tahun ini. Buat masa ini, katanya, perbincangan berkaitan rasionalisasi subsidi masih berjalan di peringkat Jemaah Menteri bagi meneliti mekanisme terbaik untuk pelaksanaan menyeluruh dan adil kepada rakyat.
Di mana mekanisme tersebut menggunakan sistem pengenalan diri MyKad dan dua kadar harga. Katanya, pembangunan mekanisme pelaksanaan langkah yang disasarkan dapat mengukuhkan kewangan negara sedang diperhalusi dengan kerajaan tidak mahu mengumumkan sesuatu pelaksanaan dasar secara terburu-buru.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.