Mercedes-Benz G580 EQ Technology dipertonton di Malaysia – harga dijangka separuh daripada G63?

Mercedes-Benz G580 EQ Technology dipertonton di Malaysia – harga dijangka separuh daripada G63?

Mercedes-Benz Malaysia (MBM) memperkenalkan model G580 dengan Teknologi EQ di Malaysia, dengan unit sebenar dipamerkan di TRX, Kuala Lumpur, tetapi dalam keadaan masih dipenuhi pelekat. Ketibaan G-Wagen elektrik penuh ini ke pasaran tempatan telah disahkan lebih awal, iaitu November lalu oleh MBM.

Kemasukan rasmi G580 ini ke pasaran Malaysia sebagai EV dijangka menawarkan harga jauh lebih mampu milik berbanding Mercedes-AMG G63 facelift (kod W465) yang dilancarkan di Malaysia pada harga bermula RM1.9 juta. Sebagai perbandingan, sebuah lagi SUV elektrik mewah Mercedes-Benz – Mercedes-Maybach EQS SUV – dijual pada harga RM1.1 juta. Berkemungkinan, harga G580 akan diletakkan sedikit di bawah jumlah tersebut.

Sama seperti model G-Class dengan enjin pembakaran dalaman (ICE), G580 dibina atas kerangka ladder-frame yang diperkuatkan. Walaubagaimanapun, versi elektrik ini menggunakan sistem suspensi belakang De Dion, menggantikan gandar belakang solid.

Mercedes-Benz G580 EQ Technology dipertonton di Malaysia – harga dijangka separuh daripada G63?

Perbezaan utama terletak pada sistem kuasa – G580 dilengkapi empat motor elektrik, setiap satu dengan transmisi dua kelajuan. Setiap motor menghasilkan 147 PS, menjadikan jumlah keseluruhan 587 PS dan 1,164 Nm tork – iaitu 314 Nm lebih tinggi daripada AMG G63. Ini membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 4.7 saat, dengan kelajuan maksimum dihadkan kepada 180 km/j.

Dua motor ditempatkan dalam satu perumah di setiap gandar dan kuasa disalurkan ke roda melalui syaf berkembar bagi memastikan kecondongan roda (camber) kekal sama ketika suspensi ditekan. G580 dilengkapi bateri 116 kWh, yang boleh memberikan jarak pemanduan sehingga 473 km (mengikut piawaian WLTP).

Bateri ini dipasang dalam kerangka utama demi mendapatkan pusat graviti lebih rendah dan memastikan ketegaran struktur yang lebih baik. Ia juga diletakkan dalam perumah khas tahan kilasan bagi mengelakkan kemasukan air dan habuk.

Mengenai pengecasan, G580 boleh menerima sumber DC sehingga 200 kW, menaikkan tahap bateri 10-80% dalam masa 32 minit. Pengecasan AC pula boleh diterima sehingga 11 kW, mengambil masa kira-kira 11.8 jam untuk pengecasan penuh dari 10% ke 100%.

Meskipun ruang dalamnya tidak boleh dimasuki, kita boleh melihat model yang ditunjukkan di TRX mengekalkan susun atur dalaman sama seperti model G-Class lain. Ia dilengkapi sistem infotainmen MBUX skrin kembar 12.3 inci, manakala penumpang belakang mendapat dua skrin hiburan bersaiz 11.6 inci.

Harga rasmi masih belum diumumkan, tetapi Mercedes-Benz G580 dengan Teknologi EQ ini dijangka ditawarkan di bawah harga Mercedes-Maybach EQS SUV (RM1.1 juta), sekaligus jauh lebih murah berbanding AMG G63. Adakah ini Gelandewagen pilihan anda?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required