Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan bahawa semua permit syarikat pengendali bas persiaran yang terbabit dalam kemalangan maut di Gerik, Perak dibatalkan serta-merta berikutan pelanggaran beberapa syarat permit.
Jelasnya, pemilik syarikat melakukan dua kesalahan besar iaitu permit pengendalian bas dipajak kepada pihak ketiga dan pengendalinya tidak mengaktifkan GPS, laporan Berita Harian.
“Pemilik memajak kepada pihak ketiga. Pemilik beralamat di Kedah dan dipajakkan kepada pengendali di Kelantan dan dibayar RM500 sebulan. Ini melanggar syarat. Apabila mereka diminta serahkan laporan GPS, mereka tak dapat (serahkan) sebab GPS pun tak diaktifkan,” katanya.
Loke turut menegaskan, tiada peluang rayuan diberikan kepada syarikat pengendali bas ini, manakala pembatalan permit adalah kekal dan tidak berubah.
“Tidak ada rayuan lagi. Walaupun ada proses rayuan yang dia boleh buat, tapi saya mahu nyatakan tidak akan dilayan rayuan dia, akan dibatalkan serta merta. Kerana ini menunjukkan kecuaian yang tidak boleh dimaafkan.
“Pertama dia melanggar syarat, pajakan (bas kepada pihak ketiga). Maknanya dia tak bertanggungjawab ke atas bas itu. Kedua, syarat sangat penting, ada GPS dia tak pasang dan aktifkan. Ini menunjukkan pemilik ini tidak bertanggungjawab,” katanya.
Loke turut berkata, sungguhpun pemandu bas berkenaan mendakwa kononnya brek kenderaan itu tidak berfungsi, sehingga menyebabkan kemalangan maut, itu hanya sekadar kenyataan saja.
“Kita akan buat siasatan terperinci, forensik dan sebagainya untuk melihat sama ada betul atau tidak dakwaan itu. Tapi daripada rakaman dashcam pengguna jalan raya lain, amat jelas ketika itu bas memotong dengan laju, memecut dan akhirnya dia terbabas.
“Daripada aspek ini, memang kita akan buat siasatan yang lebih terperinci. Sudah tentu kita akan membantu dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis untuk mengambil tindakan pendakwaan seterusnya,” katanya.
Awal pagi Isnin lalu, negara dikejutkan dengan berita kemalangan bas yang berlaku di Jalan Jeli – Gerik berhampiran Tasik Banding, Perak, yang mengakibatkan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) maut dan tujuh parah. Malah beberapa penumpang yang juga merupakan penuntut UPSI yang terselamat dalam kemalangan terbabit mendakwa bas terbabit dipandu laju dan telah menghentam sebuah Perodua Alza di laluan terbabit yang turut menyebabkan pemandu dan penumpang MPV berkenaan mengalami kecederaan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.