Sempena meraikan ulangtahun ke-50 BMW 3 Series, BMW Malaysia melancarkan BMW 3 Series 2025 yang dipertingkatkan untuk pasaran tempatan. Ia membabitkan model BMW 330i M Sport baharu dan 320i Sport baharu yang kini menyertai 330Li M Sport yang sebelum ini telah diperkenalkan. Kedua-dua model baharu yang dipertingkatkan ini adalah unit pemasangan tempatan (CKD). Untuk 330i M Sport, ia ditawarkan pada harga bermula RM340,200 (dengan waranti lanjutan dan pakej servis), manakala 320i Sport pula berharga dari RM290,000, kedua-duanya harga atas jalan tanpa insurans.
Bagi BMW 330i M Sport, pastinya ia diserikan dengan elemen rekaan M Sport yang serba bergaya dengan profil aerodinamik. Ia juga menampilkan gaya yang lebih elegan berorientasikan-bisnes, dengan garisan yang lebih kemas dan mencerminkan eksekutif moden. Ia tampil dengan gril ‘kidney’ dalam rona hitam untuk gaya yang lebih maskulin. Ia juga diberikan roda aloi ringan M bersaiz 19-inci dengan gaya jejari berganda dan 996 M Bicolour dengan tayar run flat. Model ini juga menerima ciri eksklusif termasuk pakej M Aerodynamics, spoiler belakang M, dan M high-gloss Shadowline.
BMW 320i Sport baharu pula menampilkan gaya yang lebih halus dan elegan berorientasikan perniagaan, dengan garisan yang kemas bagi mencerminkan penampilan eksekutif moden. Ia dipadankan dengan gril dalam kemasan Krom Mutiara dan serlahan luaran dalam aluminium satin. Ia juga menerima roda aloi ringan 18-inci dengan gaya jejari-V 780 Bicolour juga bersama tayar run flat dan Exterior Line Satin Aluminium.
Kedua-dua model ini turut menampilkan ciri standard yang sama iaitu lampu utama LED dengan bantuan lampu tinggi. Pencahayaan ambien juga memberikan pencahayaan pada bahagian hadapan pintu, menampilkan unjuran baharu yang dibangunkan khusus untuk BMW 3 Series baharu ini. Selain itu, pintu tailgate dengan operasi automatik diberikan untuk kemudahan yang lebih optimum.
Untuk bahagian dalamnya, kedua-dua model dipersembahkan dengan rekaan kabin serba model termasuk menampilkan rekaan semula panel instrumen yang lebih langsing disepadukan bersama corong udara sempit, manakala konsep kawalan intuitif dengan butang galvanic moden meningkatkan kemudahan penggunaan terutamanya untuk sistem pengudaraan.
Ciri elemen standard yang diberikan termasuk BMW Curved Display yang merangkumi kluster instrumen dengan paparan kawalan sentral 14.9-inci. Selain itu, ia juga dikuasakan dengan BMW Operating System 8.5 bersama fungsi QuickSelect di mana sistem ini membolehkan akses yang lebih pantas kepada fungsi utama termasuk navigasi, hiburan, dan tetapan kenderaan. BMW Live Cockpit Professional juga diberikan secara standard, dengan menambah BMW Head-Up Display warna-penuh dan navigasi Augmented View bagi meningkatkan kepekaan pemanduan.
Kedua-dua model juga menerima sistem akses yang lebih selesa, pakej cermin dalaman dan luaran, cermin pandang belakang dalaman dengan sistem anti-silau automatik, sistem muatan terus, tempat duduk sport untuk pemandu dan penumpang hadapan, pakej ruang penyimpanan, lampu ambien, dan pendingin hawa automatik.
Ciri tambahan bagi BMW 330i M Sport baharu pula ialah stereng sport boleh-ubah, menawarkan ketepatan dan respons yang dipertingkatkan sebagai sebahagian daripada kejuruteraan M Sport. Selain itu, ia turut menerima kemasan dalaman Aluminium Rhombicle Anthracite M, panel instrumen mewah, hiasan galvanic untuk kawalan, sistem pembesar suara HiFi, dan roda stereng kulit M serta pelapik bumbung M dalam sentuhan anthracite. Manakala BMW 320i Sport dibezakan dengan kemasan dalaman dalam “Dark Graphite” dan roda stereng sport.
Di bawah hudnya, BMW 330i M Sport baharu dijana oleh enjin 2.0 liter BMW TwinPower Turbo empat-silinder dengan hamburan kuasa 258 PS (190 kW atau 258 hp) dari 5,000 hingga 6,500 rpm dan tork 400 Nm dari 1,550 hingga 4,400 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik Steptronic Sport lapan-kelajuan yang memacu roda belakang, membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 5.8 saat, dengan kelajuan tertinggi cecah 250 km/j.
BMW 320i Sport baharu juga diberikan enjin yang sama tetapi dengan hamburan kuasa yang berbeza iaitu 183 PS (135 kW atau 184 hp) dari 5,000 hingga 6,500 rpm dan tork 300 Nm dari 1,350 hingga 4,000 rpm. Juga dipadankan dengan transmisi yang sama tetapi pecutan 0-100 km/j dapat dicapai dalam 7.4 saat dengan kelajuan tertinggi cecah 235 km/j.
Untuk bantuan pemanduan, kedua-dua model dilengkapi dengan ciri standard termasuk Kawalan Kelajuan Aktif dengan Stop & Go, serta Bantuan Pemanduan yang merangkumi Amaran Menukar Lorong, Info Had Kelajuan, Kepekaan Trafik Belakang dengan campur tangan brek, dan Amaran Keluar. Selain itu, ia juga dilengkapi Parking Assistant Plus yang menampilkan sistem berasaskan ultrabunyi dan kamera yang terdiri daripada Bantuan Parkir, Bantuan mengundur, Kawalan Jarak Parkir Aktif, Sistem Pandangan Sekeliling, Remote 3D View, Perakam BMW Drive, Perakam Anti-Kecurian, dan fungsi penuh Bantuan Parkir.
Untuk warna luaran, kedua-dua model diberikan pilihan Alpine White, Black Sapphire dan Arctic Race Bluem dengan BMW 330i M Sport turut menerima warna eksklusif M Brooklyn Grey dan Skyscraper Grey buat BMW 320i Sport. Bagi rona di dalam kabin, kedua-dua model diberikan Sensatec Perforated upholstery berwarna hitam.
BMW 330i M Sport 2025
BMW 320i Sport 2025
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.