Setelah setahun diperkenalkan pada pasaran global, hari ini secara rasmi BMW Malaysia melancarkan versi kemaskini BMW M2 generasi G87 ke pasaran tempatan. Ia dijual pada harga RM650,800 sekiranya anda cukup dengan waranti selama dua tahun, atau RM693,100 dengan waranti selama lima tahun dan pakej servis.
Model kemaskini ini masih menggunakan enjin petrol S58 3.0 liter enam-silinder sebaris dengan pengecas turbo, namun kuasanya kini ditala untuk mencapai 480 PS pada takat 6,250 rpm dan tork maksima 600 Nm bermula 2,650 rpm hingga 6,130 rpm, atau 20 PS lebih berkuasa dari versi terdahulu.
M2 G87 2025 ini masih jentera pacuan roda belakang sepenuhnya dengan nisbah agihan berat hadapan dan belakang 50:50, di mana kuasa dari enjin dialirkan menerusi kotak gear automatik lapan-kelajuan M Steptronic. Manakala pada gandar belakang ia disertakan dengan M Sport Differential secara standard bagi memberikan lebih cengkaman dan kawalan pada kedua-dua roda belakang.
Gandingan semua ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dibuat dalam masa 4 saat, atau 0.1 saat lebih pantas dari versi sebelum ini. Manakala kelajuan maksima masih kekal 250 km/j.
Untuk pengendalian, BMW M2 2025 pasaran Malaysia ini datang standard dengan suspensi adaptif M, dan sistem brek M Compound dengan angkup berwarna merah. Respon pendikit coupe ini juga didakwa telah ditala dengan lebih halus. Ia menerima set rim 930 M dalam kemasan perak yang masih menampilkan diameter 19-inci di hadapan dan 20-inci di belakang.
BMW M2 2025 pasaran Malaysia ini menerima perincian luaran lain seperti lampu hadapan LED adaptif yang dilengkapi teknologi Matrix, tip ekzos baharu kemasan hitam. Ia juga diberikan bumbung karbon M dan pakej Shadownline berkilat.
Pada bahagian dalaman, M2 2025 ini menerima kabin yang dibalut upholsteri kulit Vernasca berwarna hitam, karpet lantai velour, kemasan-kemasan gentian karbon dan juga pelapik bumbung M dalam kemasan anthracite. Ia turut diberikan roda stereng M rata di bawah dengan balutan kulit dan penanda pukul 12 berwarna merah, tempat duduk M Sport larasan elektrik dan juga tali pinggang keledar M.
Rekaan papan pemuka pada asasnya masih lagi sama dengan menampilkan skrin berkembar yang melengkung, dengan skrin 12.3-inci untuk paparan instrumen digital dan skrin sesentuh 14.9-inci untuk sistem infotainmen. Skrin berkenaan dikuasakan oleh Sistem Operasi BMW 8.5 dengan grafik khas M, dan disambungkan kepada sistem bunyi sekeliling Harman Kardon dengan 14 pembesar suara, amplifier 464W dan sembilan saluran audio.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.