Menerusi penganjuran acara MY BMW World yang berlangsung di Sentul Depot, yang akan dibuka kepada orang ramai mulai esok, BMW Malaysia turut mempamerkan barisan model M seperti M2, M5 dan juga M4 Competition Coupe xDrive facelift 2025.
Diumumkan pada Ogos 2024, ini merupakan penampilan khalayak pertama bagi G82 M4 Competition Coupe M xDrive, yang kini berada dalam era facelift LCI bersama model 4 Series Coupe biasa. Ia diberikan lampu utama LED adaptif, serta grafik hud (bonet) yang menonjol, yang ditawarkan dalam warna merah atau hitam seperti yang dipamerkan di sini.
Turut kelihatan ialah pakej M Lights Shadowline dan M High-Gloss Shadowline, kombinasi rim staggered 19-inci di depan dan 20-inci di belakang, rim tempaan M gaya jejari-berkembar 826 M berwarna hitam, brek M Compound merah berkilat, dan bumbung gentian karbon. Lampu belakang laser, yang pertama kali diperkenalkan pada BMW M4 CSL edisi terhad, turut ditawarkan sebagai pilihan untuk M4 Competition Coupe xDrive 2025 ini.
Jika anda rasa warna luaran neon Sao Paolo Yellow sudah cukup garang, anda perlu lihat tempat duduk kereta ini gabungan biru dan kuning. Stereng kulit M tiga-jejari yang telah diperbaharui kini menampilkan bahagian bawah yang rata, tetapi cara paling mudah untuk membezakan model LCI adalah melalui BMW Curved Display – komponen utama kokpit ini menggabungkan kluster instrumen 12.3-inci dan skrin tengah 14.9-inci, yang dikuasakan oleh BMW Operating System 8.5 dengan antara muka spesifik M.
Turut ditampilkan ialah kemasan gentian karbon M, pelapik bumbung M kemasan anthracite dan hiasan galvanic untuk elemen kawalan.
Di bawah bonetnya, ia menampilkan enjin 3.0 liter turbo sebaris enam-silinder yang menghasilkan 530 hp dan 650 Nm tork dari 2,750 hingga 5,730 rpm. Angka spesifikasi Competition ini termasuk peningkatan kuasa sebanyak 20 hp yang eksklusif untuk versi pacuan semua-roda xDrive. Pecutan 0-100 km/j mampu dicapai dalam 3.5 saat, manakala 0-200 km/j dicapai dalam 11.8 saat. Enjin biturbo S58 ini dipadankan dengan transmisi lapan-kelajuan M Steptronic Sport dan M Sport differential.
Untuk pasaran Malaysia, BMW M4 Competition Coupe xDrive facelift ditawarkan pada harga RM878,800 atas jalan tanpa insurans, atau RM930,900 dengan pakej jaminan lanjutan dan servis lima tahun daripada BMW.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.