BMW M5 G90 2025 PHEV diperkenalkan di Malaysia — jana 727 hp/1,000 Nm, 0-100 km/j 3.5 saat, RM1.19 juta

BMW M5 G90 2025 PHEV diperkenalkan di Malaysia — jana 727 hp/1,000 Nm, 0-100 km/j 3.5 saat, RM1.19 juta

Bagi model prestasi, BMW Malaysia turut memperkenalkan secara rasmi BMW M5 G90 2025 yang kini lengkap dengan sistem elektrikal hibrid buat kali pertama, dengan harga RM1,188,800.

BMW M5 terbaru ini tampil dengan reka bentuk atletik perlumbaan dengan profil yang rendah serta bahagian lengkung tayar yang lebar dengan wajah depan yang garang — menonjolkan identitinya sebagai sebuah kenderaan berprestasi tinggi yang matang.

Rekaan bahagian hadapan menampilkan saluran udara yang besar dengan rekaan bersudut serta
pembahagi tengah M. Ia dilengkapi dengan lampu depan LED adaptif dengan shadow line lampu M untuk visual yang menarik. “Kidney Grille” dihadirkan dalam kemasan hitam berkilat yang diperkemas dengan pakej luaran BMW Iconic Glow. Perincian halus seperti logo BMW M5 yang timbul di beberapa tempat menyuntik penampilan elegan padanya.

BMW M5 G90 2025 PHEV diperkenalkan di Malaysia — jana 727 hp/1,000 Nm, 0-100 km/j 3.5 saat, RM1.19 juta

Di bahagian belakang, spoiler Gurney yang kemas serta reflektor menegak menyerlahkan dimensi
kenderaan ini yang lebar dan stabil, disudahi dengan sentuhan hujung ekzos berkembar yang ikonik untuk model M untuk mengesahkan lagi aspek sporty yang agresif pada kereta ini. Model ini dilengkapi dengan rim aloi ringan M bersaiz 20”/21” dengan rekaan jejari berkembar 951 M Bicolour Midnight Grey, serta pilihan Pakej Luaran M Carbon yang memberikan sentuhan prestasi.

Di dalam, BMW M5 baru ini menggabungkan keselesaan premium dengan kokpit yang berfokus kepada pemandu. Di tengah ada Paparan Melengkung BMW, yang merangkumi kluster instrumen digital bersaiz 12.3-inci dan skrin sentuh utama bersaiz 14.9-inci yang mana kedua-duanya dikuasakan oleh BMW Live Cockpit Professional dan disempurnakan oleh grafik eksklusif M.

Kawalan intuitif disediakan menerusi BMW Smart Personal Assistant, serta Kawalan M eksklusif di konsol tengah. Stereng pelbagai fungsi M yang direka semula kini tampil dengan bahagian bawah yang rata, penanda merah di tengah dan pedal penukar gear M — meletakkan kawalan penting di hujung jari pemandu termasuk mod peribadi M1/M2, pemilih M Hybrid dan M Mode, serta butang Start/Stop berwarna merah yang ikonik. Suasana dalam kokpit ditingkatkan dengan BMW Interaction Bar dan pencahayaan ambient yang bertindak balas secara dinamik mengikut mod pemanduan yang dipilih — sama ada mod Road, Sport atau Track.

BMW M5 G90 2025 PHEV diperkenalkan di Malaysia — jana 727 hp/1,000 Nm, 0-100 km/j 3.5 saat, RM1.19 juta

Kemasan kabin dihiasi dengan balutan kulit dua tona premium Merino, kemasan gentian karbon dengan benang perak berkilat tinggi, tali pinggang keledar M, serta pelapik bumbung Alcantara dalam rona anthracite, serta kerusi dengan pelbagai fungsi M — larasan elektrik, sokongan lumbar, fungsi memori dan pemanas untuk kerusi depan dan belakang serta pengecas tanpa wayar.

Ruang but pula, walaupun menempatkan bateri voltan tinggi untuk sistem hibridnya, tetap menyediakan ruang seluas 466 liter yang cukup luas. Selain itu, M5 baru ini juga lengkap dengan sistem bunyi sekeliling Bowers & Wilkins dengan 18-pembesar suara 655 watt dan sembilan saluran audio.

Nadi utama BMW M5 ini tentunya sistem kuasa M Hybrid serba baru yang menggabungkan enjin V8 berprestasi tinggi dengan pacuan elektrik, menandakan permulaan era baru yang progresif dalam sejarah BMW M. Enjin 4.4 liter M TwinPower Turbo V8 berprestasi tinggi ini menghasilkan sebanyak 430 kW (585 hp), dibantu oleh motor elektrik generasi kelima BMW eDrive yang menjana 145 kW (197 hp) — ini menghasilkan keseluruhannya sehingga 727 hp dan tork 1,000 Nm!

Kuasa disalurkan melalui transmisi Steptronic M lapan-kelajuan, membolehkan BMW M5 baru ini memecut dari 0-100 km/j dalam hanya 3.5 saat dan mencapai kelajuan 200 km/j dalam masa 10.9 saat sahaja. Pecutan segera ini dipertingkatkan melalui fungsi “Boost Control”, yang memberikan tork maksimum secara serta-merta antara 30 hingga 150 km/j — fungsi ini diaktifkan hanya dengan satu tarikan pada pedal penukar gear kiri dalam mod M Track.

Apabila tork elektrik menyokong enjin V8 pada tekanan pedal penuh, pecutan pertengahan antara 80 hingga 120 km/j dapat dicapai dalam hanya 2.9 saat, jauh lebih pantas berbanding model sebelumnya. Bunyi enjin V8 yang bertenaga diserlahkan lagi oleh sistem ekzos BMW M Sport dan disulami dengan alunan akustik BMW IconicSounds Electric yang direka khas apabila kenderaan beroperasi dalam mod hibrid.

Bateri litium-ion voltan tinggi bagi sistem M Hybrid ini dipasang secara rata di bahagian bawah lantai
untuk mengekalkan titik graviti rendah serta ruang kabin yang luas. Dengan kapasiti bersih 18.6 kWh,
bateri ini memberikan pemanduan elektrik sepenuhnya hingga 69 kilometer (WLTP) dengan laju maksimum 140 km/j. Pengecasan dikendalikan melalui Unit Pengecasan Gabungan dengan keupayaan pengecasan AC hingga 11 kW yang membolehkan pengecasan penuh dalam lebih kurang tiga jam.

Untuk sistem suspensi, BMW M5 dilengkapi jenis double wishbone di depan, dan jenis five-link di belakang. M Adaptive Suspension bertindak balas dalam masa nyata, membolehkan pemandu memilih antara mod Comfort, Sport atau Sport Plus. Buat julung kalinya dalam sejarah BMW M5, sistem Integral Active Steering ditawarkan sebagai ciri standard — memberikan kawalan stereng pada tayar belakang untuk meningkatkan kestabilan ketika pemanduan berkelajuan tinggi serta menawarkan kecekapan pergerakan pada kelajuan rendah dengan sudut kontra stereng sehingga 1.5 darjah.

Sistem pacuan semua roda M xDrive pula ditala untuk memenuhi keperluan sistem hibrid baru, dengan pengagihan tork yang pintar antara gandar hadapan dan belakang. Pemandu boleh memilih antara mod 4WD, 4WD SPORT, atau mod pacuan roda belakang sepenuhnya (2WD). Penyesuaian lanjut boleh dilakukan melalui butang M1 dan M2 pada stereng, membolehkan pemandu menetapkan pilihan mereka merangkumi rangkaian kuasa, suspensi, sistem brek, stereng, kawalan kestabilan dinamik, serta ciri pemulihan tenaga sistem M Hybrid.

Bagi aspek sistem bantuan pemandu, BMW M5 terbaru ini antaranya dilengkapi dengan ciri seperti Bantuan Pemanduan dan Bantuan Parkir, yang merangkumi fungsi seperti pemantauan permulaan pemanduan, kamera bantuan undur, serta bantuan undur pintar. Untuk kemudahan dan keselamatan tambahan, Bantuan Parkir Plus disertakan dengan kamera tambahan bersama paparan persekitaran 3D, manakala Bantuan Pemanduan Plus menyokong fungsi pemanduan separa automatik bagi pengekalan lorong, stereng aktif, kawalan kelajuan adaptif, dan pemantauan automatik had laju. Sistem berkenaan turut berupaya mengendalikan situasi trafik perlahan dan proses susur masuk ke lebuh raya dengan campur tangan minimum daripada pemandu.

Semua sistem ini disepadukan secara lancar dengan Sistem Operasi BMW 8.5 terkini, yang turut memicu BMW Live Cockpit Professional — merangkumi kluster digital dan head-up display.

BMW M5 baru ini ditawarkan dengan pilihan warna luaran yang dirumus khas untuk menyerlahkan
penampilannya — Alpine White, Sophisto Grey, Fire Red, Brooklyn Grey, Carbon Black, Isle of Man Green, Marina Bay Blue dan Storm Bay. Untuk ruang dalaman, ada empat pilihan balutan kulit Merino disediakan: Black klasik, Silverstone elegan, Red menyala atau Kyalami Orange yang ekspresif.

Gambar rasmi pelancaran di Malaysia

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required