Bermaz dakwa kebanjiran kereta China di Malaysia sebabkan untung suku ke-4 jatuh sehingga 76.51%

Bermaz dakwa kebanjiran kereta China di Malaysia sebabkan untung suku ke-4 jatuh sehingga 76.51%

Pengedar jenama Mazda dan Kia di Malaysia iaitu Bermaz Auto Berhad mencatatkan keuntungan hanya RM21.2 juta pada suku ke-4 Tahun Kewangan 2025 (S4TK2025) yang berakhir 30 April lalu, atau jatuh sehingga 76.51% berbanding RM90.2 juta yang dicatatkan tempoh sama tahun sebelumnya.

Ini merupakan rekod pendapatan suku tahun paling rendah pernah dicatatkan oleh Bermaz sejak S2TK2022 kerana pendapatannya yang berkurangan sebanyak 43.61% kepada RM528.65 juta dari RM937.53. Menurut laporan The Edge, Bermaz mendakwa kejatuhan keuntungan ini adalah disebabkan kemasukan yang banyak secara berterusan kereta-kereta dari jenama China ke pasaran tempatan yang dijual pada harga yang sangat kompetitif.

“Lembaga syarikat menjangkakan prestasi kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2026 akan mencabar,” kata syarikat itu dalam pemfailan keputusan suku tahunan terbarunya. Bermaz turut memberi amaran bahawa sektor automotif tempatan dijangka mencatat pertumbuhan yang lebih rendah kerana tekanan inflasi, pertumbuhan global yang lebih lemah daripada ketidaktentuan geopolitik dan hasil rundingan tarif perdagangan dijangka memberi kesan kepada ekonomi tempatan.

Laporan ini turut memetik data dari Persatuan Automotif Malaysia (MAA) yang menunjukkan jualan keseluruhan kenderaan di Malaysia bagi empat bulan pertama 2025 jatuh 5.4% kepada 248,730 unit dari 263,050 unit pada tempoh sama tahun lalu.

“Kemasukan berterusan kenderaan jenama China juga telah memberi kesan kepada jualan jenama lain di negara ini. Pelancaran model facelift baharu dan/atau baharu dari jenama kenderaan sedia ada dan baharu kumpulan masih sangat bergantung kepada sentimen pasaran dan keadaan ekonomi,” kata Bermaz Auto.

Dengan jualan kenderaan Mazda dan Kia yang lebih rendah, keuntungan bersih kumpulan itu untuk TK2025 penuh turun lebih separuh kepada RM155.91 juta daripada RM345.58 juta berikutan pendapatannya menyusut hampir 30% kepada RM2.62 bilion daripada RM3.9 bilion, lapor akhbar tersebut.

Oleh itu Bermaz mengisytiharkan dividen interim keempat sebanyak 1.5 sen sesaham, turun daripada 11.75 sen dalam tempoh yang sama tahun lepas. Ia menjadikan pembayaran dividennya untuk TK2025 kepada 16.75 sen, berbanding 26 sen untuk TK2024. Saham Bermaz Auto susut 1.5 sen atau 1.6% untuk ditutup pada RM1.04 pada Khamis, dengan penilaian syarikat itu pada RM1.09 bilion, lapor The Edge lagi.

Selain dari Mazda dan Kia, Bermaz kini turut menjadi pengedar tunggal untuk jenama kenderaan elektrik (EV) dari China iaitu Xpeng. Selain itu Bermaz Auto juga telah mewujudkan satu lagi subsidiari dengan pegangan sebanyak 85% yang dikenali sebagai Bermaz Changan, di mana ia bakal ia dijadualkan akan mula menjual satu lagi jenama EV China iaitu Deepal ke pasaran tempatan bermula tahun ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required