Kementerian Pengangkutan telah mengumumkan bahawa semua pengendali kenderaan berat dan bas perlu mengaktifkan peranti had laju sedia ada (Speed Limit Device, SLD) pada kenderaan mereka, kerana penggunaannya akan diwajibkan mulai 1 Januari 2026. Bagi kenderaan yang belum dilengkapi dengan SLD, peranti ini perlu dipasang selewat-lewatnya pada Julai tahun hadapan, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
SLD merupakan sistem kawalan had laju yang direka untuk mengehadkan kelajuan maksimum sesuatu kenderaan. Ia akan menghalang jenis-jenis kenderaan komersial tertentu daripada dipandu melebihi had yang ditetapkan, iaitu 90 km/j untuk kenderaan berat dan bas. Peranti ini memainkan peranan penting dalam mengelakkan pemanduan melebihi had laju yang ditetapkan, terutamanya bagi kenderaan yang membawa muatan berat atau penumpang.
“Pengilang diwajibkan untuk mengaktifkan SLD mereka agar hanya membolehkan kelajuan maksimum 90 km/j. Walaupun had laju jalan lebih tinggi, contohnya 110 km/j di lebuhraya, SLD masih akan mengehadkan kelajuan kenderaan kepada 90 km/j,” katanya dalam sidang media di Scania Malaysia Sdn Bhd di Bukit Jelutung, Shah Alam pagi tadi. Walau bagaimana pun, beliau menambah bahawa bagi jalan yang mempunyai had laju lebih rendah, seperti zon 60 km/j, pemandu sendiri perlu mematuhi had laju yang ditetapkan.
Beliau berkata penggunaan SLD, yang akan dihubungkan terus ke unit kawalan elektronik (ECU) kenderaan, adalah wajib bagi kenderaan barangan (berat maksimum melebihi 3,500 kg) dan kenderaan penumpang (membawa lebih daripada lapan orang dan berat maksimum melebihi 5,000 kg) yang didaftarkan sebelum 1 Januari 2015.
Peraturan ini juga terpakai kepada kenderaan ‘rebuild’ (atau bina semula) dan kenderaan barangan import terpakai (berat maksimum melebihi 3,500 kg). Penguatkuasaan pengaktifan SLD dalam ECU untuk semua kenderaan ini akan bermula pada 1 Januari 2026.
Loke turut menjelaskan bahawa bagi kenderaan sedia ada yang tidak dilengkapi dengan sistem SLD, pemasangan SLD retrofit yang diluluskan oleh JPJ adalah diwajibkan. Pemasangan ini perlu dilakukan di bengkel dan fasiliti servis teknikal yang diiktiraf oleh JPJ. Penguatkuasaan pemasangan retrofit ini akan bermula pada 1 Julai 2026.
Bagi tujuan pemantauan, setiap SLD perlu disahkan fungsinya melalui dokumen pengesahan fungsi dan laporan SLD yang boleh disediakan oleh pengeluar kenderaan, bengkel, fasiliti teknikal, atau badan pensijilan yang diakreditasi oleh Jabatan Standard Malaysia dan diiktiraf oleh JPJ. Tarikh akhir penyediaan dokumen ini ialah 1 Oktober 2025.
Dokumen ini perlu diperbaharui setiap dua tahun dan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Bermotor (PPKM) serta semasa memohon atau memperbaharui permit daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD). Loke menegaskan bahawa dokumen ini perlu sentiasa dibawa dalam kenderaan untuk tujuan penguatkuasaan oleh JPJ.
Untuk pemasangan atau pun pengaktifan SLD, pemilik kenderaan berat perlu membawa kenderaan masing-masing ke kilang pengeluaran kenderaan terbabit. Pihak teknikal kilang pengeluaran akan ‘plug in’ peranti yang diperlukan untuk disambung ke ECU kenderaan bagi mengaktifkan SLD ini. Apabila selesai pengaktifan, pemilik dan pemandu kenderaan boleh mengakses data yang berkaitan menerusi perisian yang dibekalkan. Di mana data berkenaan boleh dilihat secara terus dengan bantuan isyarat GPS secara 24 jam, sekaligus boleh memantau pergerakan kenderaan di jalan raya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.