Rapid Bus Sdn Bhd selaku pengendali bas Rapid KL dan bas perantara MRT bakal melancarkan lima lagi zon operasi baharu bagi perkhidmatan van Rapid KL On-Demand bermula 16 Jun 2025.
Lima zon terbabit ialah MRT Kwasa Sentral–Subang Bestari/Subang Skypark Terminal, MRT Semantan–Menara DBKL, MRT Metro Prima–Taman Beringin, MRT Putrajaya Sentral–Presint 1 dan MRT Cyberjaya City Centre–Cyberjaya. Tempah tempat duduk untuk Rapid KL On-Demand bagi lima zon ini boleh dibuat menerusi aplikasi dalam talian Rapid On-Demand.
“Dengan pengenalan lima zon kali ini, Rapid KL On-Demand yang menjadi sambungan ke Laluan Kajang dan Putrajaya adalah sebanyak 16 zon melibatkan 46 buah van. Secara keseluruhan di Lembah Klang pula, Rapid KL On-Demand telah beroperasi di 60 buah zon dengan 162 buah van.
“Selaras dengan komitmen kami terhadap mobiliti lestari serta menggalakkan penggunaan pengangkutan awam yang lebih menyeluruh, kami akan terus berusaha untuk memastikan perkhidmatan Rapid KL On-Demand ini lebih efisien dan menepati permintaan para pengguna,” ujar Amir Hamdan, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi), Prasarana.
Selain memberikan sokongan kepada perkhidmatan tren Rapid KL, inisiatif peluasan zon kali ini juga bertumpu kepada kawasan yang mempunyai jumlah kepadatan penduduk yang tinggi serta kawasan urbanisasi yang semakin berkembang. Ini adalah langkah Rapid Bus dalam menyediakan penyelesaian perjalanan “first-mile, last-mile” yang lebih fleksibel dan mudah.
Menawarkan jaminan tempat duduk yang boleh ditempah setiap hari dari jam 6 pagi sehingga 11.30 malam, dengan tambang promosi RM1.00 untuk setiap perjalanan. Pengguna boleh membuat pembayaran menggunakan Kad Touch ‘n Go, kad debit atau kredit, kad Konsesi MyRapid, pas Perjalanan OKU Smile dan pas Perjalanan Tanpa Had (My50, MyCity & Pas Famili).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.