Semalam tular kejadian sebuah kereta yang jatuh dari tempat parkir sebuah pangsapuri di Ibu Negara. Menurut laporan Bernama, kejadian itu sebenarnya terjadi di sebuah pangsapuri servis, di Jalan Klang Lama pada petang Ahad, 15 Jun 2025 apabila seorang pekerja sebuah kedai mencuci kereta memandu kereta pelanggan dan melanggar tembok sebelum terjunam dari tingkat tiga tempat letak kereta tersebut.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa dalam laporan berkenaan, kejadian berlaku kira-kira 5.38 petang melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Camry yang dipandu lelaki warga Afghanistan berusia 23 tahun.
“Siasatan awal mendapati lelaki yang bekerja sebagai pencuci kereta itu dipercayai hilang kawalan ketika mahu meletakkan kenderaan milik pelanggan selepas dicuci.
“Dia dipercayai tersilap menekan pedal minyak menyebabkan kenderaan itu melanggar tembok dan terjatuh dari tingkat tiga sebelum menghempap dua kenderaan lain, iaitu Proton Iriz dan Perodua Myvi yang diparkir di bawah bangunan terbabit,” kata Zamzuri ketika dihubungi Bernama malam tadi.
Beliau mengesahkan bahawa kedua-dua pemilik kereta berkenaan tiada di dalam kenderaan terbabit ketika kejadian itu berlaku, manakala mangsa mengalami kecederaan parah dan dibawa ke zon merah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut, dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.