Lesen memandu vokasional (PSV) milik pemandu bas yang terlibat dengan kemalangan membabitkan pelajar Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) telah digantung serta-merta. Kemalangan yang berlaku di Jalan Jeli-Gerik berhampiran Tasik Banding, Perak pada 9 Jun lalu telah menyebabkan 15 penuntut UPSI terkorban, dan 33 orang lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas berkenaan, serta pemandu dan tiga penumpang Perodua Alza yang turut terbabit dalam insiden berkenaan.
Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), tindakan ini diambil mengikut peruntukan Seksyen 56 (4) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) susulan siasatan yang sedang dijalankan. “JPJ turut membuka kertas siasatan terhadap pemilik syarikat pengendali kenderaan terbabit, termasuk syarikat yang menerima pajakan permit operasi bas berkenaan,” kata Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli.
Pada 11 Jun lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke turut mengumumkan semua permit syarikat pengendali bas berkenaan dibatalkan serta-merta berikutan pelanggaran beberapa syarat permit. Jelasnya, pemilik syarikat melakukan dua kesalahan besar iaitu permit pengendalian bas dipajak kepada pihak ketiga dan pengendalinya tidak mengaktifkan GPS.
Kelmarin, Loke turut memaklumkan bahawa kemalangan bas persiaran tersebut bukan disebabkan masalah mekanikal kenderaan itu. “Berdasarkan laporan awal teknikal yang disediakan oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM), keadaan fizikal brek bas berkenaan membabitkan ‘lining’ dan ‘drum’ bagi semua gandar masih berada di dalam keadaan memuaskan.
“Tidak terdapat sebarang ketidakseragaman pada ‘drum’ brek mahupun kenipisan pada ‘lining’ brek. Tiada petunjuk kegagalan mekanikal pada aspek itu yang boleh dikaitkan secara langsung sebagai punca kemalangan,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Anthony berkata, berdasarkan pemeriksaan fizikal tayar pula mendapati ketebalan bunga tayar dalam keadaan memuaskan dan mematuhi piawaian ditetapkan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Komponen bahagian stering dan suspensi secara menyeluruh dalam keadaan memuaskan. Berdasarkan pemerhatian dan siasatan teknikal, tiada bukti merujuk kepada kegagalan sistem mekanikal yang menyebabkan kemalangan. Justeru, kemungkinan besar kemalangan itu berlaku atas faktor lain seperti faktor manusia, keadaan jalan dan sebagainya,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.