Leapmotor C10 2025 di Malaysia — pengecas AC 11 kW, kemaskini kelengkapan; harga turun jadi RM125k

Leapmotor C10 2025 di Malaysia — pengecas AC 11 kW, kemaskini kelengkapan; harga turun jadi RM125k

Minggu lalu, Stellantis Malaysia umumkan kemaskini dan peningkatan yang dilakukan terhadap model Leapmotor C10 bagi tahun 2025, yang pertama kali dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada Oktober 2024. Lebih menarik, model SUV elektrik berkenaan juga diberikan harga jualan baru yang lebih rendah, iaitu RM125,000 termasuk insurans daripada harga asalnya, RM159,000 — harga pengenalan ketika dilancarkan pula ialah RM149,000 hingga Oktober 2024 tahun lalu.

Jadi, apa peningkatan dan kemaskini yang dilakukan terhadap Leapmotor C10? Antara yang utama ialah pengecas AC-nya kini dengan kapasiti kuasa 11 kW, menggantikan versi 6.6 kW sebelum ini. Ini menjadikan tempoh pengecasan lebih pendek, daripada enam jam kepada empat jam. Untuk pengecasan DC pula masih sama; 84 kW yang boleh mengecas bateri LFP 69.9 kWh dari 30%-80% dalam masa 30 minit.

Leapmotor C10 2025 di Malaysia — pengecas AC 11 kW, kemaskini kelengkapan; harga turun jadi RM125k

Untuk kelengkapan lain, model C10 2025 kini turut datang sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), serta kit pam angin automatik untuk tayar. Turut ditambah ialah penutup ruang barangan belakang (tonneau cover) — kapasiti ruang simpanan belakang ialah 435 liter dengan tempat duduk belakang ditegakkan, dan boleh menjadi sehingga 1,410 liter jika tempat duduk dilipat. Ruang simpanan tambahan di bahagian hadapan (frunk) menyediakan 32 liter ruang.

Bahagian dalam C10 2025 pula menampilkan kemasan balutan hitam, menggantikan warna Midnight Aurora bagi varian dengan warna luaran Pearly White, Canopy Grey dan Tundra Grey. Bagi model berwarna Glazed Green pula, upholsteri kini hadir dalam warna Camel Brown menggantikan Criollo Brown. Bahan balutannya masih menggunakan tekstil silikon Oeko-Tex.

Untuk sistem hiburan, Leapmotor C10 2025 mengekalkan panel instrumen bersaiz 10.25-inci dengan resolusi 1920 x 720, serta skrin tengah bersaiz 14.6 inci berdefinisi tinggi dengan resolusi 2560 x 1440. Sistem audio pula terdiri daripada 12-pembesar suara berkuasa 840 watt dengan bunyi keliling, lengkap dengan fungsi navigasi satelit, Wi-Fi dan Bluetooth.

Leapmotor C10 2025 di Malaysia — pengecas AC 11 kW, kemaskini kelengkapan; harga turun jadi RM125k

Sistem penggerak Leapmotor C10 ini tidak berubah, masih menggunakan tetapan motor tunggal yang menghasilkan 218 PS dan 320 Nm untuk memacu roda belakang. Kenderaan ini mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat dan mencapai kelajuan maksimum 170 km/j.

Leapmotor C10 2025 dijual dengan harga bermula RM125,000 dan hadir bersama jaminan selama enam-tahun atau 150,000 km (terdiri daripada jaminan pengeluar empat tahun dan jaminan lanjutan dua tahun), serta jaminan bateri selama lapan tahun atau 160,000 km.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required