Seperti yang diumumkan Mei lalu, kini secara rasmi Peugeot telah mendedahkan penerus legasi untuk hot-hatch dengan lencana GTi – ini dia Peugeot e-208 GTi, iaitu GTi pertama Peugeot yang diasaskan dari model elektrik penuh (EV)!
Seperti yang disebut, model generasi baharu ini diasaskan dari hatchback kompak Peugeot e-208. Ia masih menggunakan hanya satu motor elektrik bagi memacu roda hadapan, namun berbanding versi biasa di mana motor berkenaan hanya menghasilkan 154 hp, versi GTI ini dibekalkan dengan kuasa 280 hp dan tork maksima 345 Nm, dan ia datang standard dengan unit LSD.
Ini membolehkan Peugeot e-208 GTi ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat, atau 0.8 saat lebih pantas dari Peugeot 208 GTi generasi pertama dengan enjin 1.6 liter turbo. Namun ia hanya mampu mencatatkan kelajuan maksimum 180 km/j berbanding 230 km/j berbanding 208 GTi terdahulu.
Motor elektrik berkenaan menerima kuasa dari bateri CATL berkapasiti 54 kWj, membolehkan ia bergerak sejauh 350 km/j untuk satu cas penuh menerusi ujian WLTP. Walaupun ia dibekalkan oleh CATL, pek bateri ini telah menerima perisian yang dibangunkan oleh Peugeot bersama kereta lumba Le Mans Hyper (LMH) 9X8 dalam perlumbaan World Endurance Championship (WEC), yang membantu dari segi pengurusan haba dan pemulihan tenaga.
Untuk mengecas, sistem AC yang dibekalkan mampu menerima sehingga 7.4 kW bagi membolehkan cas dipenuhkan dalam masa empat jam 40 minit. Sistem ini juga mempunyai fungsi untuk mengehadkan pengecasan hanya pada 80%. Pengecas pantas DC juga boleh digunakan dengan kemampuan sehingga 100 kW yanh membolehkan cas dari 20%-80% dipenuhkan dalam masa tak sampai 30 minit.
Sama seperti model-model Peugeot lain, e-208 GTi ini juga menerima perancang perjalanan bina dalam yang dihubungkan kepada sistem navigasi bagi memudahkan anda merancang perjalanan terutamanya merancang dan mencari stesen pengecas. Sistem vehicle-to-load (V2L) juga diberikan bagi membolehkan kuasa bateri digunakan untuk mengoperasikan pelbagai peralatan elektrik lain.
Pada sebelah luar, model dengan lencana GTi ini nampak lebih garang menerusi pemadanan spoiler bawah bampar yang lebih agresif, spoiler belakang lebih besar dan juga diffuser bawah bumper belakang yang lebih menonjol serta disepadukan dengan lampu kabus.
Namun rupa lebih ‘jahat’ ini bukan hanya terserlah menerusi kit penggayaan, ia turut disumbang menerusi trek roda hadapan yang dihasilkan 56 mm lebih lebar dan trek roda belakang juga 27 mm lebih lebar, bersama suspensi yang ditala bagi memberikan badan hot-hatch ini 30 mm lebih rendah. Suspensi berkenaan turut dibantu bump stops hidraulik khas yang direka hanya untuk e-208 GTi ini.
Stance yang agresif pada e-208 GTi ini juga ditonjolkan lagi menerusi pemadanan set rim 18-inci dengan rekaan diinspirasikan dari rim ikonik Peugeot 205 GTi era 80’an dahulu, serta dibalut dengan tayar berprestasi Michelin Pilot Sport Cup 2 bersaiz 215/40R18.
Untuk brek pula pada bahagian hadapan ia menerima cakera lebih besar berdiameter 355 mm. bersama angkup brek empat omboh, namun di belakang ia masih menerima sistem brek yang sama seperti e-208 biasa.
Inspirasi dari model 205 GTi juga boleh dilihat pada sebelah kabin di mana model ini menerima balutan Alcantara pada tempat duduk dan stereng dalam kemasan merah dan hitam, dan juga karpet kaki berwarna merah.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.