Model baru Xpeng G7 EV SUV kini dibuka untuk tempahan awal di China, bermula pada harga 235,800 yuan (anggaran RM139,000), seperti yang dilaporkan oleh Car News China, yang turut menyiarkan beberapa gambar model tersebut.
Xpeng G7 dibina sebagai SUV elektrik segmen D dan lebih panjang berbanding model Xpeng G6, sekaligus menjadi pesaing utama kepada Tesla Model Y dan Zeekr 7X. Ia berukuran 4,892 mm panjang (+139 mm berbanding G6), 1,925 mm lebar (+5 mm), 1,655 mm tinggi (+5 mm) dan jarak roda yang kekal pada 2,890 mm – sama seperti G6.
Dari aspek teknologi pemanduan sendiri, G7 dilengkapi sistem pemanduan autonomous Tahap 3 dipanggil XNGP (eXtreme Navigation Guided Pilot), yang berasaskan sepenuhnya kepada kamera tanpa penggunaan LiDAR. Terdapat dua varian ditawarkan, Max dan Ultra dengan varian tertinggi Ultra dilengkapi tiga cip Turing AI yang menurut Xpeng, mampu menghasilkan lebih 2,200 TOPS kuasa pengkomputeran, bersamaan dengan sembilan cip Nvidia Orin-X.
Satu lagi ciri menarik ialah sistem AR-HUD (paparan maklumat realiti tambahan) yang dibangunkan bersama Huawei. Sistem ini menampilkan paparan 87 inci yang menyokong navigasi AR, panduan di persimpangan kompleks serta arahan pertukaran lorong secara dinamik, lengkap dengan algoritma penstabilan imej, pembetulan herotan dan pampasan kelewatan.
Untuk sistem kuasa, G7 dilengkapi motor elektrik belakang berkuasa 296 PS. Ia dipadankan dengan pilihan dua bateri – 68.5 kWh memberi jarak pemanduan sehingga 602 km (jika guna rim 18 inci) atau 577 km (rim 20 inci) dan 80.8 kWh yang mampu memberi jarak sehingga 702 km (rim 18 inci) atau 677 km (rim 20 inci). Semua angka ini berdasarkan piawaian CLTC.
Melihat kepada rekaan luarannya, G7 menampilkan jalur lampu hadapan penuh seperti Tesla Model Y versi Juniper, tetapi dalam tiga bahagian berasingan dengan lampu utama diletakkan dalam ruang potongan khas di bawah jalur tersebut. Bahagian bawah gril boleh dibuka untuk penyejukan atau ditutup bagi meningkatkan aerodinamik, sementara ciri tambahan lain adalah termasuk pintu tanpa bingkai dengan fungsi soft-close, pemegang pintu rata, lampu belakang penuh lebar berbentuk trapezoid serta ruang simpanan depan (frunk).
Reka bentuk dalaman G7 mengekalkan konsep minimalis. Ia dilengkapi skrin sesentuh utama bersaiz 15.6 inci, dua pad pengecas telefon tanpa wayar, tempat duduk kulit Nappa dengan fungsi ventilasi, pemanas dan urutan, bumbung panoramik, lampu suasana dengan 256 pilihan warna, 20 pembesar suara dan cermin pandang belakang digital.
Menariknya, penumpang belakang turut mendapat skrin kawalan penyaman udara bersaiz 8 inci dan meja lipat dengan pemegang tablet bermagnet yang dipasang di belakang tempat duduk penumpang hadapan. Dengan semua ciri canggih ini, adakah anda ingin melihat Xpeng G7 dibawa masuk ke pasaran Malaysia?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.