Chevrolet Corvette ZR1X diperkenal – pencabar hypercar dengan penggerak hibrid AWD 1,250 hp

Chevrolet Corvette ZR1X diperkenal – pencabar hypercar dengan penggerak hibrid AWD 1,250 hp

Apa akan terjadi jika anda gabungkan Chevrolet Corvette ZR1 – model terpantas dan paling ekstrem pernah dihasilkan Corvette – dengan Corvette E-Ray, model elektrifikasi pertama dalam sejarah jenama ini? Hasilnya ialah Corvette ZR1X, sebuah jentera hibrid pacuan semua roda (AWD) yang dikatakan antara kereta paling laju di dunia ketika ini.

Chevrolet menggelar ZR1X sebagai hypercar sebenar buatan Amerika, tetapi mungkin ada peminat tegar yang tidak bersetuju kerana ia cuma mengambil asas sebuah kereta sports dan dipertingkat. Namun, prestasi yang ditawarkan memang layak.

ZR1X mengekalkan asas daripada model ZR1 biasa, termasuk penggunaan enjin V8 5.5 liter LT7 twin-turbo dengan konfigurasi flat-plane crankshaft. Enjin ini menjana kuasa 1,064 hp dan tork 1,123 Nm, disalurkan ke roda belakang melalui transmisi klac berkembar 8-kelajuan.

Chevrolet Corvette ZR1X diperkenal – pencabar hypercar dengan penggerak hibrid AWD 1,250 hp

Namun, perbezaan ketara datang dari penggunaan motor elektrik di gandar hadapan, diambil daripada sistem Corvette E-Ray tetapi telah dipertingkatkan kepada 186 hp dan 197 Nm. Gabungan keseluruhan memberikan output luar biasa sebanyak 1,250 hp.

Walaupun masih menggunakan pek bateri 1.9 kWh, keupayaan tenaga boleh guna telah ditingkatkan untuk prestasi pemanduan trek yang lebih baik. ZR1X bukan model plug-in hybrid, sebaliknya semua tenaga elektrik dijana sepenuhnya melalui sistem brek regeneratif, sama seperti E-Ray.

Dari aspek prestasi, angka yang dicatat sangat mengagumkan – pecutan 0 ke 60 mph (97 km/j) di bawah dua saat dan suku batu (402 m) dalam masa kurang sembilan saat. Ini turut dibantu oleh keupayaan gandar hadapan untuk dinyahhubung pada kelajuan lebih tinggi, iaitu 258 km/j, berbanding 241 km/j pada E-Ray.

Chevrolet Corvette ZR1X diperkenal – pencabar hypercar dengan penggerak hibrid AWD 1,250 hp

Sistem pembahagian kuasa antara gandar hadapan dan belakang sentiasa dilaras mengikut input pemandu dan keadaan pemanduan bagi memberikan tindak balas dan cengkaman optimum. Di litar, pemandu boleh memilih beberapa mod termasuk Endurance Mode untuk pemanduan agresif berterusan, Qualifying Mode yang mengoptimumkan strategi kuasa untuk satu pusingan pantas dan Push-to-Pass, menyediakan kuasa maksimum seketika untuk memotong.

ZR1X juga menerima mod baru dalam sistem kawalan cengkaman dipanggil PTM Pro, yang menutup sistem kawalan cengkaman dan kestabilan sepenuhnya tetapi masih mengekalkan fungsi pelarasan tork melalui brek regeneratif, launch control serta kawalan awal gandar hadapan untuk cengkaman maksimum semasa keluar selekoh.

Untuk sistem brek, ZR1X dilengkapi brek karbon seramik J59 yang dinaik taraf, kini dijadikan standard berbanding sebagai pilihan tambahan pada ZR1 biasa. Ia dipadankan bersama angkup 10-piston dari Alcon di hadapan (cakera 420 mm – terbesar pernah dipasang pada Corvette) dan unit 4-piston di belakang. Chevrolet mendakwa sistem ini mampu memberikan daya henti sehingga 1.9g dari 290 km/j ke 200 km/j.

Chevrolet Corvette ZR1X diperkenal – pencabar hypercar dengan penggerak hibrid AWD 1,250 hp

ZR1X menggunakan suspensi adaptif jenis magnetorheological secara standard, sementara rim aloi bersaiz 20-inci di hadapan dan 21-inci di belakang hadir sebagai kelengkapan asas, manakala rim gentian karbon disediakan sebagai pilihan.

Melihat kepada reka bentuk, ZR1X hampir sama seperti ZR1, yang mana adalah tidak banyak berbeza dengan Corvette Z06. Ciri seperti liang udara besar di hadapan, splitter depan, liang sisi berbentuk trilob, diffuser belakang bersaiz besar dan empat paip ekzos kekal dikongsi semua model ini. Perbezaan utama hanyalah bonet berliang udara yang hanya terdapat pada ZR1 dan ZR1X.

Pelanggan boleh memilih pakej aerodinamik gentian karbon yang merangkumi flic hadapan, gurney flap di sekitar liang bonet, serta sayap belakang besar yang menghasilkan sehingga 544 kg daya tolakan ke bawah. Pakej ini datang sebagai standard dalam ZTK Track Performance Package, yang turut menyediakan penyerap hentak lebih keras dan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 (Pilot Sport 4S adalah standard biasa).

Di dalam kabin, ZR1X menerima rekaan dalaman baru untuk barisan model Corvette tahun 2026, termasuk penghapusan “dinding butang” di sebelah penumpang. Butang-butang ini kini diletakkan di bawah skrin infotainmen utama 12.7 inci, manakala paparan meter digital 14 inci disertai oleh skrin tambahan 6.6 inci di sebelah kiri untuk paparan kenderaan dan tetapan PTM.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required