Ford Ranger Super Duty – spesifikasi didedah; 209 PS/600 Nm, boleh tampung beban sehingga 1.9 tan

Ford Ranger Super Duty – spesifikasi didedah; 209 PS/600 Nm, boleh tampung beban sehingga 1.9 tan

Ford Ranger Super Duty

Ford telahpun mengumumkan spesifikasi trak pikap Ford Ranger yang lebih lasak dan bakal dilancarkan pada tahun hadapan iaitu Ford Ranger Super Duty.

Maklumat rasmi terbaharu ini mendedahkan bahawa Ranger Super Duty akan dibekalkan dengan enjin V6 3.0 liter turbodiesel, namun ia hanya menghasilkan kuasa 209 PS pada takat 3,250 rpm dan tork maksima 600 Nm bermula 1,750 rpm. Ini bermakna kuasa yang dibekalkan adalah lebih 40 PS kurang berbanding Ranger Wildtrak yang menerima enjin sama tetapi menghasilkan 250 PS/600 Nm.

Menurut Ford ia adalah kerana enjin Ranger Super Duty ini diberikan talaan khas bagi membolehkan ia melepasi undang-undang emisi Euro VI untuk kenderaan tugas berat yang lebih ketat. Selain itu sistem penyejukan enjin Super Duty ini juga telah dipertingkat bagi membolehkan ia beroperasi 25% lebih berkesan dari Ranger biasa.

Ford Ranger Super Duty – spesifikasi didedah; 209 PS/600 Nm, boleh tampung beban sehingga 1.9 tan

Ford Ranger Super Duty

Sebelum ini Ford telah mengesahkan bahawa Ranger Super Duty ini dapat menampung berat keseluruhan beban dan kenderaan itu sendiri (GVM) pada kadar 4,500 kg, serta berat gandingan kenderaan dan tundaan (GCM) pada kadar 8,000 kg. Namun dalam siaran terbaharu yang disiarkan, jenama itu telah memperincikan angka beban yang boleh dibawa Ford Ranger Super Duty ini di mana casis Single Cab mampu menampung 1,982 kg, casis Super Cab sehingga 1,896 kg dan casis double cab sehingga 1,825 kg.

Ranger Super Duty ini juga menerima gandar hadapan dan belakang yang dipertingkat bersama drive shaft berdiameter lebih besar bagi membolehkan gandar hadapan menampung beban sehingga 1,900 kg dan gandar belakang sehingga 2,800 kg. Untuk memastikan ia turut boleh melalui laluan off-road lebih lasak, unit locking differential bukan hanya diberi pada gandar belakang, malah turut disertakan pada gandar hadapan.

Suspensi Ranger Super Duty ini juga direka bagi memberikan jarak kelegaan tanah lebih tinggi sehingga 299 mm, dan hab roda juga dipertingkat bagi membolehkan ia dipadankan dengan rim 18-inci dengan lapan lubang stad, bersama tayar all-terrain berdiameter 33-inci dipasang secara standard, menjadikan jarak trek roda lebih lebar sehingga 1,710 mm.

Ia juga datang dengan unit Snorkel secara standard, membolehkan ia ‘menyelam’ meredah air pada kedalaman 850 mm. Selain itu perincian standard lain yang turut diberikan termasuk bampar besi hadapan dan belakang, fender flare lebih besar untuk lebih melindungi badan dan juga plat pelindung bawah yang besar.

Trak pikap ini juga menerima tangki bahan api lebih besar berkapasiti 130 liter membolehkan ia berjalan masuk ke kawasan pedalaman yang lebih jauh. Dalam kabin, Ford telah menyediakan banyak cagak untuk membolehkan pemiliknya menambah pelbagai aksesori lain tanpa merosakkan kemasan dalaman trak pikap ini.

Ford Ranger Super Duty ini masih akan diproduksi di Thailand, dan bakal di bawa ke pasaran Australia tahun hadapan di mana divisi pasaran berkenaan telah mengumumkan harga jualannya – varian single cab berharga AU$82,990 (RM230,100), varian super cab akan dijual pada harga AU$86,490 (RM239,800), manakala varian double cab pula berharga AU$89,990 (RM249,500).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required