Hyundai Motor Malaysia umum kehadiran; kendali sendiri jenama, lancar 3 model baharu, teruskan CKD

Hyundai Motor Malaysia umum kehadiran; kendali sendiri jenama, lancar 3 model baharu, teruskan CKD

Hyundai Motor Company (HMC) hari ini mengumumkan bahawa ia kini menguruskan sendiri jenama automotif dari Korea Selatan itu pada pasaran Malaysia menerusi prinsipal yang dikenali sebagai Hyundai Motor Malaysia (HMY).

“Peralihan ini merupakan sebahagian daripada strategi global Hyundai untuk membina hubungan yang lebih kukuh dalam pasaran pertumbuhan utama, selaras dengan visi jenamanya ‘Progress for Humanity‘, menunjukkan kepentingan strategik Malaysia dalam menentukan masa depan jenama itu. Melalui langkah ini, Hyundai akan mengambil alih peranan utama, memikul tanggungjawab penuh untuk jenama, pemasaran, jualan, dan pengalaman pelanggan. Sebuah pasukan tempatan yang khusus turut dibentuk dan diberi kuasa untuk membuat keputusan yang lebih pantas dan relevan dengan pasaran, selain membina hubungan lebih erat, yang mengutamakan pelanggan.” kata kenyataan yang dikeluarkan syarikat itu.

Sebelum kenyataan rasmi ini dikeluarkan, awal bulan ini akaun-akaun media sosial rasmi HMY termasuk Facebook, Instagram, Youtube, LinkedIn dan TikTok sudah pun diaktifkan. Dalam pengumuman rasmi yang dibuat hari ini, selain dari menyatakan akan memberikan komitmen jangka masa panjang di Malaysia, HMY turut mengesahkan bahawa ia akan melancarkan tiga model baharu dalam segmen SUV dan MPV ke pasaran tempatan dalam masa terdekat.

HMY juga menyatakan bahawa ia kini telah menubuhkan ibu pejabat di Menara Affin @TRX dengan jumlah tenaga kerja yang dijangka mencecah 100 orang menjelang akhir tahun ini. Selain itu, operasi pemasangan tempatan (CKD) yang sebelum ini telah pun berjalan menerusi kerjasama strategik dengan Inokom Corporation Sdn. Bhd. akan diteruskan bermula pada suku ketiga tahun 2025.

“Kemudahan ini dijangka akan mengeluarkan sehingga tujuh model kenderaan dalam tempoh lima tahun, sekali gus mengintegrasikan Malaysia ke dalam rangkaian pengeluaran global Hyundai. Selaras dengan aspirasi negara ke arah kelestarian, peluasan operasi pembuatan Hyundai akan memberi tumpuan pada peringkat awal kepada pemasangan tempatan bagi kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) dan kenderaan elektrik hibrid (HEV). Ini termasuk pelbagai model SUV dan MPV yang direka khusus untuk memenuhi permintaan tinggi rakyat Malaysia terhadap kenderaan pelbagai guna berspesifikasi tinggi. Dengan peningkatan kapasiti pengeluaran, kira-kira 30 peratus daripada kenderaan yang dipasang di Malaysia akan dieksport ke pasaran jiran,” kata HMY lagi.

Tahun lalu HMC telah mengumumkan bahawa ia akan membuat pelaburan sebanyak RM2.16 bilion di Malaysia, yang membabitkan kerjasama dengan Inokom bagi menaiktaraf kilang di Kulim, Kedah untuk membolehkan fasiliti tersebut memenuhi kapasiti yang ditetapkan oleh HMC. Pelaburan itu dilaporkan akan berjalan selama enam tahun iaitu bermula 2025 hingga 2030, dan ia termasuk untuk mewujudkan kilang pemasangan bateri EV dan juga penghasilan enam model CKD.

Lebih perincian berkenaan pelaburan tersebut kemudiannya dilaporkan oleh media Korea iaitu Yonhap yang menyebut kilang CKD di Kulim tersebut akan memasang model-model MPV termasuk Staria bermula pertengahan 2025, serta rancangan untuk memperluaskan lagi barisan model CKD termasuk pemasangan SUV bersaiz sederhana dan besar. Kilang tersebut bukan sahaja akan membekalkan kenderaan untuk pasaran tempatan, malah turut akan dieksport ke pasaran ASEAN lain dengan kapasiti pengeluaran tahunan 20,000 unit.

“Kami membuat keputusan pelaburan ini memandangkan kepentingan yang semakin meningkat di Asia Tenggara dan pasaran Malaysia. Kami menyasar untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial rantau ini dengan mewujudkan pekerjaan dan pembangunan bakat tempatan,” kata HMC ketika itu, dilaporkan oleh Yonhap.

Dengan peralihan ini, wakil pengedar Hyundai di Malaysia sebelum ini iaitu Hyundai Sime Motors dijangka bakal menjadi ‘pengedar super’ jenama itu di Malaysia seperti Auto Bavaria untuk BMW dan Cycle & Carriage untuk Mercedes-Benz.

“Walaupun tumpuan ketika ini adalah memastikan peralihan operasi berjalan lancar dan perkhidmatan diteruskan dengan baik, Hyundai turut mempunyai visi jangka panjang yang lebih luas. HMY giat menaik taraf rangkaian pengedar serta perkhidmatan selepas jualannya dengan meletakkan pengalaman pelanggan sebagai keutamaan — daripada pemodenan bilik pameran dan integrasi digital yang dipertingkatkan hinggalah kepada pengalaman pemilikan kenderaan yang lebih intuitif dan lancar.

“Dalam masa yang sama, HMY menyasarkan untuk menetapkan penanda aras baharu dalam kecemerlangan perkhidmatan selepas jualan dengan memanfaatkan amalan terbaik global serta melabur dalam keupayaan perkhidmatan tempatan. Hyundai merancang untuk melakukan penambahbaikan utama ke atas rangkaian perkhidmatannya, termasuk membuka sehingga 25 cawangan menjelang tahun 2030 dan menaik taraf sistem selepas jualan bagi meningkatkan lagi pengalaman pelanggan,” kata syarikat itu lagi dalam kenyataan yang sama.

Ia juga menambah bagi memastikan pelanggan boleh terus mendapat akses kepada maklumat terkini yang penting, termasuk peringatan servis, kemas kini perisian, kempen penyelenggaraan, faedah pemilikan kenderaan dan pelbagai maklumat penting lain pada masa depan, pelanggan Hyundai sedia ada di Malaysia digalakkan untuk mengemaskini butiran hubungan mereka melalui kod QR di atas.

“Langkah ini bertujuan memastikan HMY dapat memberikan khidmat sokongan secara berterusan tanpa gangguan serta meningkatkan pengalaman pemilikan kenderaan yang lebih lancar kepada keseluruhan pelanggan Hyundai di Malaysia,” tambah HMY lagi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required