Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah berjaya memperoleh lebih RM56 juta hasil bayaran saman melalui inisiatif Saman Kompaun Khas Kadar Rata (Flat Rate) RM150 yang diperkenalkan sejak Januari lalu.
Menurut Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan, jumlah itu melibatkan sebanyak 374,024 saman trafik yang telah diselesaikan setakat ini, laporan Berita RTM.
Walau bagaimana pun, beliau berkata, kutipan itu masih rendah kerana hanya mewakili sekitar 20% daripada keseluruhan jumlah saman yang dikeluarkan tetapi masih belum dilangsaikan.
“Kita harap orang ramai jangan tunggu saat akhir untuk bayar saman kerana dikhuatiri berlaku kesesakan. Saluran bayaran telah dibuka termasuk di kaunter, aplikasi MyJPJ, kioks, dan kemudahan bergerak (mobile),” katanya.
Pada awal Januari lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan JPJ menawarkan kompaun khas dengan kadar rata RM150 bagi tiga kesalahan selama enam bulan bermula 3 Januari 2025. Tiga kesalahan tersebut melibatkan tiga jenis notis saman JPJ iaitu Saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) (Saman 53A); Notis Temu Siasat (114) dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115).
“Biasanya, kompaun bagi ketiga-tiga kesalahan ini ialah RM300. Jadi kita memberikan satu kadar kompaun khas bermula 3 Jan selama enam bulan supaya mereka menyelesaikan kompaun ini.
“Sebab saman AWAS ada dua juta saman yang tertunggak… dan memang ada sekatan kepada mereka yang tidak menyelesaikan saman AWAS, sekiranya mereka tidak menyelesaikan saman itu mereka tidak boleh memperbaharui lesen memandu ataupun lesen kenderaan motor mereka,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.