Sebelum didedahkan secara rasmi, imej bagi model generasi baharu Mazda CX-5 kini sudahpun tertiris dan tular di internet. Foto berkenaan tersebar menerusi forum CocheSpias yang menyatakan imej tersebut diambil dari laman instagram Car Design News.
Menerusi imej ini jelas CX-5 generasi ketiga tersebut menampilkan bayangan badan sisi dan bahagian cermin tingkap yang masih tidak jauh berbeza dari model sedia ada, menyamai versi prototaip dengan pelekat penyamaran yang sudah dijumpai diuji di atas jalan raya sebelum ini.
Perbezaan paling ketara bagi model generasi baharu ini adalah pada bahagian muka, di mana ia menampilkan lampu hadapan lebih besar serta nampak seperti sebahagian dari gril hadapan. Gril pada bahagian bawah bampar juga nampaknya lebih besar dari versi sedia ada.
Unit yang tertiris ini juga masih menampilkan pelindung-pelindung badan pada ruang roda dan bawah pintu berwarna hitam. Ada laporan menyatakan bahawa ini adalah varian lebih rendah kerana untuk varian lebih mahal ia menampilkan pelindung-pelindung berkenaan dalam kemasan warna badan.
Mazda CX-5 generasi baharu ini dijangka akan mula dijual pada tahun hadapan. Mazda juga sebelum ini telah mengesahkan bahawa CX-5 generasi ketiga ini akan menjadi model pertama yang akan menerima enjin petrol generasi baharu yang dikenali sebagai SkyActiv-Z.
Enjin tersebut dikatakan mampu beroperasi dengan kaedah pembakaran ‘lambda one’, iaitu ia akan mencapai pembakaran lengkap dengan 14.7 bahagian udara dan 1 bahagian bahan api (14.7:1 atau dikenali dengan 1 lambda) pada setiap tahap rpm enjin.
Mazda turut mengesahkan enjin tersebut akan memenuhi peraturan emisi Euro 7 di Eropah dan juga LEV 4/Tier 4 di Amerika Syarikat. Dengan terhasilnya enjin yang boleh dijual tanpa masalah dalam era pelepasan karbon yang semakin ketat ini, Mazda mendakwa bahawa ia dapat menjimatkan banyak kos kerana enjin tersebut boleh beroperasi dengan unit kawalan elektronik dan juga komponen-komponen elektrikal yang jauh lebih sedikit berbanding model-model yang dibantu sistem elektrifikasi bagi kekal relevan dengan undang-undang berkenaan.
Walau bagaimanapun varian dengan enjin SkyActiv-Z ini akan hadir sedikit lewat iaitu dijangka pada 2027. Sebelum itu, ia masih akan ditawarkan dengan unit rangkaian kuasa yang sama seperti model sedia ada dan turut akan menampilkan varian yang menggunakan sistem hibrid.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.