Ferrari dilaporkan tangguh rancangan untuk EV keduanya hingga 2028 kerana kurang permintaan

Ferrari dilaporkan tangguh rancangan untuk EV keduanya hingga 2028 kerana kurang permintaan

Menurut laporan Reuters, Ferrari telah menangguhkan rancangan untuk mengeluarkan kenderaan elektrik (EV) keduanya disebabkan kekurangan permintaan terhadap EV mewah berprestasi tinggi. Ada sumber memberitahu penerbitan tersebut bahawa EV kedua jenama tersebut pada asalnya dijadualkan diperkenalkan pada tahun 2026, namun kini telah ditunda sekurang-kurangnya sehingga tahun 2028.

EV kedua belum diumumkan secara rasmi oleh Ferrari, dan pengeluar kereta dari Itali itu juga enggan mengulas mengenai penangguhan yang didakwa. “Sebagai sebahagian daripada perancangan dalaman Ferrari yang tidak didedahkan, sebuah model EV kedua telah dirancang untuk dilancarkan sekitar akhir tahun 2026. Namun kini ia mungkin akan ditangguhkan sekurang-kurangnya hingga tahun 2028,” kata salah satu sumber, yang turut menambah bahawa permintaan sebenar dan mampan untuk sebuah kereta sport elektrik adalah tidak tidak wujud,” lapor Reuters.

Menangguhkan rancangan untuk memperkenalkan model EV kedua memberi lebih masa kepada Ferrari untuk membangunkan teknologi dalaman yang berpotensi bagi menarik minat pembeli, yang ketika ini menunjukkan minat yang sangat sedikit atau hampir tiada langsung. Laporan turut menyatakan bahawa rancangan untuk EV kedua itu telah ditangguhkan dua kali iaitu pada awalnya ditangguhkan selama setahun, dan kini dijadualkan paling awal pada tahun 2028.

Ferrari sebelum ini menyatakan bahawa mereka akan memperkenalkan EV pertama pada Oktober tahun ini menerusi proses tiga peringkat, yang akan berakhir dengan tontonan perdana peringkat global dijangka berlangsung pada musim bunga tahun depan (sekitar bulan Mac hingga Mei), dengan penghantaran pertama dijangka bermula pada Oktober 2026. Model ini dijangka berharga sekurang-kurangnya 500,000 euro (sekitar RM2.4 juta), dan akan menjadi model edisi terhad yang bersifat simbolik.

Dalam masa yang sama, dikhabarkan beberapa pengeluar kenderaan lain turut mengkaji semula rancangan EV mereka, termasuk Maserati yang membatalkan model elektrik MC20 Folgore. Sementara itu, Porsche masih belum mendedahkan bila pengganti EV bagi 718 Cayman dan Boxster akan dilancarkan, manakala Lamborghini turut menangguhkan pelancaran EV pertamanya dari tahun 2028 ke 2029.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required