Selepas ditunjuk dan dipamerkan di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) tahun lalu, Honda Prospect Motor (HPM) telahpun membuka tempahan untuk Honda StepWGN generasi ke-6 di pasaran negara itu. MPV tersebut bakal dilancarkan pada 24 Julai nanti, sekali lagi ia akan dibuat ketika berlangsungnya GIIAS 2025.
StepWGN merupakan MPV jenis ‘people mover’ yang menampilkan badan yang tinggi untuk berhadapan terus dengan model seperti Nissan Serena dan Toyota Noah/Voxy. HPM belum mendedahkan sebarang spesifikasi untuk StepWGN pasaran Indonesia tersebut, namun mengesahkan ia hanya akan ditawarkan dalam versi hibrid elektrik e:HEV.
Unit yang dipamerkan idi GIIAS tahun lalu merupakan StepWGN dalam varian Spada e:HEV, iaitu model dengan unit rangkaian kuasa hibrid Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) yang sama seperti dipadankan pada Honda Civic dan CR-V e:HEV yang sudahpun ada dalam pasaran Malaysia.
Sistem berkenaan menampilkan enjin 2.0 liter empat-silinder kitaran Atkinson berkuasa 145 PS dan tork maksima 175 Nm yang secara primari berfungsi sebagai generator untuk mengecas bateri hibrid. Manakala roda hadapan digerakkan dengan motor elektrik berkuasa 185 PS dan tork 315 Nm. Namun dalam situasi tertentu contohnya dalam kelajuan tinggi, enjin turut akan membantu motor elektrik untuk memacu tayar menerusi klac lock-up bagi memberikan kadar efisien lebih baik.
StegWGN generasi keenam ini tampil dengan rupa lebih ringkas berbanding model generasi kelima. Tetapi ia kini tidak lagi menampilkan rekaan pintu tailgate belakang “Wake-waku Gate” yang begitu praktikal pada model generasi sebelumnya, dan ia hanya diberikan pintu tailgate biasa.
Namun ia masih lagi menawarkan kabin dan susunan tempat duduk yang praktikal, contohnya tempat duduk baris kedua yang boleh digerakkan ke kiri dan ke kanan dan juga ke hadapan dan ke belakang, manakala tempat duduk baris ketiga boleh dilipat masuk ke lantai bagi memberikan ruang but lebih luas dengan lantai rata.
GALERI: Honda StepWGN Spada e:HEV di GIIAS 2024
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.