Hongqi Guoli (L5) jadi produk eksport tunggal paling mahal China — RM6.5 juta untuk kereta terpakai!

Hongqi Guoli (L5) jadi produk eksport tunggal paling mahal China — RM6.5 juta untuk kereta terpakai!

Nama Hongqi mungkin agak dikenali; cabang kenderaan mewah bagi FAW dan juga merupakan jenama automotif paling tua di China, dengan sejarah panjang pengeluaran kenderaan untuk pemimpin di negara itu. Ada kemungkinan juga pernah melintas nama L5; kereta flagship keluaran jenama itu yang mana sebuah daripadanya pernah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Iskandar.

Namun ia sangat langka untuk ditemukan kerana hanya dijual di China, dan kini ditukar nama kepada Guoli (bermaksud “pemberian negara”). Mungkin, kerana kelangkaannya itulah ia dilaporkan menjadi pemecah rekod bagi produk eksport tunggal dari China yang paling mahal, yang bertukar tangan dnegan kos 11 juta Yuan (RM6.5 juta).

Menurut Car News China, unit tersebut yang dieksport dari Erdos, China menuju Emiriah Arab Bersatu, telah dibeli oleh Stanislav Semenov, pengasas dan CEO Eqvilent, sebuah firma perdagangan kuantitatif yang berpusat di Dubai. Kereta berkenaan ditempah ketika Auto Shanghai pada April lalu. Harga jualan bagi model terbabit ialah 7.18 juta yuan (RM4.2 juta), dengan unit yang dieksport ini telah diberikan kelengkapan tersendiri oleh Lanting Yayun yang melibatkan kos tambahan.

Hongqi Guoli (L5) jadi produk eksport tunggal paling mahal China — RM6.5 juta untuk kereta terpakai!

Kereta mewah Guoli ini berada diposisi lebih atas daripada barisan kenderaan Golden Sunflower oleh Hongqi, dan model generasi sebelumnya pernah digunakan secara rasmi untuk Presiden Xi Jinping, sebelum beralih kepada model N701 yang lebih besar, yang dibangunkan khusus untuknya. Guoli mempunyai ukuran 5,980 mm panjang, 2,090 mm lebar dan 1,710 mm tinggi, hampir sama panjang dengan Rolls-Royce Phantom Extended.

Rekaan ala retro yang digunakan padanya adalah untuk menyamai kereta terawal teresebut, dengan lampu utama bulat, gril krom besar di depan, cermin menegak, tiang C tebal serta lampu belakang menegak dengan jalur krom melintang di bahagian belakang. Perhiasan di bonet yang berkilau dan boleh disembunyikan juga condong 23.5 darjah — dikatakan menunjuk ke arah bintang utara Polaris.

Di dalam lebih meriah. Ada paparan instrument digital 12.3-inci, skrin infotainmen 16.2-inci serta augmented-reality head-up display. Skrin tengah tersebut boleh dinaikkan lagi dari paras papan pemuka, serta ada karpet tebal serta kemasan hijau berkilat yang kelihatan seperti batu jade di ruang berkenaan. Kerusi depan juga boleh dilarask ke 14-arah dan ada ciri pemanas, memori serta urutan.

Hongqi Guoli (L5) jadi produk eksport tunggal paling mahal China — RM6.5 juta untuk kereta terpakai!

Suasana paling mewah tentunya di bahagian belakang. Kerusinya boleh dilaras ke 16-arah, ada 16 pembesar suara serta perehat kepala dengan larasan kuasa empat-arah, dan juga lipatan kerusi hanya dengan satu sentuhan. Ada juga cermin hias, tirai serta pelindung matahari tersedia. Kaca akustik pula digunakan untuk semua bahagian, serta pembatal kebisingan asing memastikan kesenyapan untuk penumpang.

Lanting Yayun untuk Semenov ini pula diilhamkan daripada Orchid Pavilion Gathering dari 353 CE, dengan penyudah biru dan bonet, bumbung dan but perak, dan menggunakan rim 21-inci krom.

Kereta ini dilengkapi dengan enjin 4.0-liter V8 dengan pengecas turbo berkembar yang menghasilkan 381 PS dan 350 Nm yang disalurkan ke semua roda melalui kotak gear automatik lapan-kelajuan. Guoli bagaimanapun sebuah kereta yang berat, dengan 3,150 kg, dan memecut 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat, dan mampu mencapai laju maksimum 220 km/j.

Hongqi L5 untuk Yang di-Pertuan Agong

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required